Polis serbu port judi dalam ladang kelapa sawit

Seramai 21 individu ditahan dalam serbuan pasukan D7 di sebuah ladang kelapa sawit di Kampar yang dijadikan ‘port’ judi.
Seramai 21 individu ditahan dalam serbuan pasukan D7 di sebuah ladang kelapa sawit di Kampar yang dijadikan ‘port’ judi.
A
A
A

KAMPAR - Sebuah port judi dalam ladang kelapa sawit diserbu sepasukan polis Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, di Kuala Dipang, semalam.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, serbuan Op Dadu sekitar jam 2.30 petang itu berjaya menahan 20 lelaki dan seorang wanita yang berusia lingkungan 40 hingga 60-an yang leka berjudi.

“Mereka yang ditahan merupakan penganjur dan pemain serta penjaga air. Kebanyakan pemain merupakan mereka yang tinggal di Ipoh, Batu Gajah dan Chemor yang sanggup memandu ke Kampar untuk berjudi," katanya.

Menurut Anuar, dilengkapi dengan meja, kerusi serta bumbung kanvas, mereka masuk ke kawasan yang agak tersorok agar ‘port’ yang dijalankan lebih sebulan lalu tidak disedari pihak berkuasa.

Meja yang dialas kanvas hitam mempunyai nombor taruhan serta wang tunai antara yang dirampas dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit, semalam.
Meja yang dialas kanvas hitam mempunyai nombor taruhan serta wang tunai antara yang dirampas dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit, semalam.

“Walaupun lokasinya jauh dari penglihatan ramai, kita berjaya menghidu perbuatan itu selepas melakukan risikan dan hasil maklumat awam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek menjalankan kegiatan haram itu bermula jam 12 tengah hari hingga 6 petang.

“Kita merampas meja yang dialas kanvas hitam serta papan putih tercatat nombor disyaki nombor pertaruhan, peralatan berjudi serta wang tunai RM6,611.

Artikel Berkaitan:

“Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Kampar untuk tindakan lanjut,” katanya.

Anuar berkata, mereka direman dua hari bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.