Khazanah tolak cadangan tutup MAS

Kadir Jasin
Kadir Jasin
A
A
A

SHAH ALAM - Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin mendakwa Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) telah menolak cadangan daripada pihak pengurusannya untuk menutup Malaysia Airlines Bhd (MAS).

Menurutnya, usaha pengurusan Malaysia Airlines untuk memulihkan syarikat itu dengan menjalinkan kerjasama bersama rakan kongsi asing turut tidak berjaya mendapat perhatian pengurusan Khazanah.

"Bagaimanapun, baru-baru ini kita telah mendengar bahawa MAS sedang membuat rundingan perjanjian usaha sama dengan syarikat penerbangan dari Jepun dan Singapura.

"Selain itu, saya juga difahamkan beberapa syarikat penerbangan dari Asia, Eropah dan Australia turut menunjukkan minat," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Justeru beliau menegaskan, sebarang rundingan untuk menjual atau menyusun semula pemilikan MAS perlu dilakukan secara terbuka dan telus.

"Semua pihak berkepentingan perlu diberi peluang untuk memberi cadangan mereka.

"Rundingan eksklusif secara 'backdoor' (pintu belakang) mesti dielakkan kerana semua pihak yang layak mesti diberikan peluang yang sama," katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa agar semua pihak menerima kenyataan bahawa MAS kini sedang berhadapan dengan keadaan yang sukar.

Artikel Berkaitan:

"Khazanah telah melaksanakan empat inisiatif pemulihan sejak 2001, bermula dengan 'WAU' yang diketuai oleh perundingan Bina Fikir.

"Semua gagal dan ia telah membebankan kerajaan dengan kos kira-kira RM25 bilion," katanya.

Beliau mendakwa bahawa semua pelan pemulihan syarikat penerbangan itu gagal sehingga menyebabkan kakitangannya kehilangan pekerjaan.

"Pelan pemulihan gagal tapi tiada seorang pun daripada pengurusan tertinggi Khazanah kehilangan pekerjaan malah mereka terus berkhidmat dan dipromosikan.

"Sebaliknya, 6,000 kakitangan tahap rendah dan pertengahan yang kehilangan pekerjaan dan dijangka lebih banyak lagi akan mengalami nasib sama jika cadangan untuk menutup syarikat penerbangan itu tidak dihentikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad," ujarnya.