Arthur tolak cadangan pasang tol di Sabah

Arthur Joseph Kurup
Arthur Joseph Kurup
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Pensiangan yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup menolak cadangan untuk mewujudkan sistem tol di Sabah.

Cadangan itu dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid Jonnybone Kurum dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada minggu lalu.

Arthur yang juga bekas Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, jalan-jalan Persekutuan di Sabah merupakan laluan utama yang menghubungkan antara daerah dan ini berbeza dengan Semenanjung yang mempunyai jalan raya alternatif.

"Di Semenanjung, pengguna boleh memilih lebuh raya bertol untuk lebih cepat sampai ke destinasi atau laluan alternatif yang tidak bertol yang mungkin lebih jauh jaraknya.

"Tetapi di Sabah kita tiada alternatif. Ini perlu ditekankan dan difahami oleh ADUN yang mencadangkan mewujudkan tol di Sabah.

"Tidak wajar untuk kita memaksa penguna jalan raya di Sabah membayar tol tanpa sediakan laluan alternatif," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambahan Arthur lagi, kerajaan Persekutuan telah memberi jaminan bahawa lebuh raya Pan Borneo Sabah akan bebas tol ketika pembinaannya dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sehubungan itu, Arthur yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menegaskan bahawa ia merupakan satu keistimewaan untuk rakyat Sabah yang harus dikekalkan oleh Kerajaan Perpaduan.

"Ini merupakan salah satu agenda yang saya perjuangkan ketika berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia.

"Keistimewaan yang diberikan ini memainkan peranan penting dalam meningkat lagi ekonomi dan sosial rakyat Sabah. Selain memudahkan pergerakan antara daerah ia juga akan membantu melancarkan urusan logistik bagi pembangunan, memudahkan transaksi perniagaan yang pastinya akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi rakyat dan saya percaya rakyat mahu keistimewaan lebuh raya tanpa tol dikekalkan," jelasnya.

Tambah beliau,, tidak wajar timbul pula cadangan untuk mengenakan bayaran tol di Sabah sedangkan selama ini rakyat menikmati jalan raya bebas tol.

"Pada zaman ini kita sedaya upaya mencari kaedah untuk menghapuskan tol atau mengurangkan tol bagi mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat," katanya.