Ku Nan pemegang saham terbesar dalam Tadmansori Holdings: Saksi

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor - Foto BERNAMA
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor - Foto BERNAMA
A
A
A
KUALA LUMPUR - Ketua Pegawai Operasi Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) Datuk Mohd Hasbi Jaafar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merupakan pemegang saham terbesar dalam syarikat itu dengan jumlah saham sebanyak 99.99 juta unit.

Mohd Hasbi, 55, ketika membacakan penyataan saksinya berkata oleh kerana Tengku Adnan pemegang saham terbesar dalam syarikat berkenaan, beliau pembuat keputusan dan mempunyai hak dari segi operasi syarikat serta mengawal kewangan syarikat tersebut.

"Penglibatan Tengku Adnan dalam syarikat itu adalah pembuat keputusan di dalam urusan kewangan membabitkan jumlah yang besar seperti pelaburan dan pembelian aset dalam dan luar negeri," kata saksi pendakwaan keenam itu pada hari kedua perbicaraan kes Tengku Adnan.

Mohd Hasbi, yang berkhidmat selama 24 tahun di THSB sejak 1995, turut memaklumkan kebiasaannya keputusan syarikat akan dibuat bersama-sama dengan seorang lagi pemegang saham syarikat THSB iaitu Datuk Dr Tengku Rethwan Tengku Mansor.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Penolong Pengurus Akaun dan Kewangan THSB, Rabiatul Adawiyah Sobri, 32, ketika membacakan penyataan saksinya mengesahkan terdapat kemasukan wang berjumlah RM2 juta ke akaun syarikat berkenaan daripada pemegang saham THSB, Tengku Adnan.

"Saya mengesahkan selepas kemasukan wang RM2 juta ke akaun THSB, saya tidak ada menerima arahan daripada Datuk Hasbi untuk mengeluarkan wang atau bayaran daripada akaun THSB kepada akaun UMNO.

"Saya juga mengesahkan sepanjang saya berkhidmat di THSB, tidak pernah ada transaksi pengeluaran wang atau bayaran daripada akaun THSB kepada akaun UMNO. Apa-apa transaksi pengeluaran wang yang hendak dilakukan dari syarikat itu ke akaun lain, hendaklah mendapat arahan daripada Datuk Hasbi," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Ketika pemeriksaan balas peguam Datuk Tan Hock Chuan, yang mewakili Tengku Adnan, Rabiatul Adawiyah bersetuju bahawa dalam baucar jurnal dan lejar am tidak dicatitkan bahawa RM2 juta itu dibayar oleh syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd.

Tan: Dari segi perakaunan syarikat, wang RM2 juta bukan bayaran dari Aset Kayamas kepada THSB?

Rabiatul Adawiyah: Ya, setuju.

Saksi pendakwaan kelima itu juga bersetuju dengan peguam bahawa kemasukan cek RM2 juta itu tidak mempunyai kaitan dengan pihak ketiga.

Prosiding di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung petang ini.- Bernama