Isytihar harta elak pertelingkahan kepentingan, tuduhan palsu

Muhammad Mohan
Muhammad Mohan
A
A
A

SHAH ALAM - Transparency International Malaysia (TI-M) menyambut baik usul yang mewajibkan semua ahli Parlimen dan keluarga mengisytiharkan aset dan pendapatan mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana langkah itu mampu memastikan ketelusan dan akauntabiliti mereka diketahui rakyat.

Presidennya, Dr Muhammad Mohan berkata, pengisytiharan harta ini juga bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan kepentingan serta boleh mengelakkan tuduhan palsu dan meningkatkan kepercayaan orang ramai.

Menurut beliau, ia juga boleh meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap ahli politik yang mereka pilih pada pilihan raya lalu.

"Kita amat menyokong usul ini kerana ia (pengisytiharan harta) perlu dimulakan dari wakil rakyat dan ahli Parlimen terlebih dahulu bagi mengelakkan tuduhan palsu selain membantu mengatasi isu pertelingkahan kepentingan dan liabiliti.

"Rakyat berhak untuk mengetahui aset dan pendapatan sebenar wakil rakyat mereka sesuai dengan prinsip akauntabaliti dan ketelusan yang diperjuangkan dalam manifesto Pakatan Harapan. Dengan cara ini juga, rakyat tidak perlu lagi mempertikaikan amaun yang diisytiharkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Katanya, pengisytiharan harta secara atas talian tidak membawa sebarang bahaya seperti didakwa pihak tertentu.

"Mereka yang memilih untuk menjadi seorang ahli politik, jadi mereka harus sedar sebagai wakil rakyat mereka perlu telus dan menegakkan integriti.

"Tiada apa yang perlu dirisaukan jika mereka bekerja keras dan memperoleh kekayaan dengan cara yang jujur," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Dr Muhammad, beliau turut memuji tindakan Ahli Parlimen yang sudah mengisytiharkan harta mereka kepada umum.

"Mereka tidak perlu dipaksa untuk berbuat demikian kerana ia salah satu tanggungjawab mereka untuk berlaku jujur terhadap rakyat yang memilih mereka," katanya.

Kelmarin, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua ahli Parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing.

Usul dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dan disokong Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, diluluskan selepas dibahaskan 26 Ahli Parlimen.

Selepas Vui Keong menggulung usul berkenaan, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, memaklumkan usul itu diluluskan sebulat suara tanpa sebarang bantahan termasuk daripada Ahli Parlimen pembangkang.