Malaysia rakan penting Azerbaijan di rantau ASEAN, dunia

Elmar Mammadyarov
Elmar Mammadyarov
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Malaysia adalah rakan penting Azerbaijan di rantau ASEAN dan dunia Islam, menyaksikan kedua-dua negara bekerjasama serta berdialog berlandaskan prinsip setiakawan, persefahaman dan saling mempercayai," kata Menteri Luar Azerbaijan Elmar Mammadyarov.

Justeru, beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan Malaysia di atas minat serta kesudian bekerjasama dengan Azerbaijan.

Katanya, kerjasama dua hala Azerbaijan dan Malaysia berpotensi besar untuk dimajukan demi kepentingan rakyat kedua-dua negara.

Mammadyarov berkata, pertemuan antara bekas Presiden Republik Azerbaijan Heydar Aliyev dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di luar Sidang Kemuncak Islam ketujuh di Casablanca, Maghribi pada Disember 1994, menjadi asas kepada hubungan Azerbaijan-Malaysia.

Tahun 2018 merupakan ulang tahun ke-25 hubungan diplomatik Azerbaijan dan Malaysia.

"Selama ini, hubungan persahabatan adalah kukuh dan kerjasama dalam pelbagai bidang yang mempunyai kepentingan bersama berkembang pesat. Pertukaran misi diplomatik, lawatan dan pertemuan membabitkan pegawai peringkat tinggi antara kedua-dua negara telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan kerjasama dua hala.

"Pada 2014, satu Deklarasi Bersama mengenai Hubungan Mesra dan Kerjasama antara Republik Azerbaijan dan Malaysia dimeterai," kata Mammadyarov kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama sempena 100 Tahun Khidmat Hubungan Diplomatik Azerbaijan.

Menteri Luar itu berkata demikian, ketika ditanya sejauh mana rantau ASEAN dan negara anggota seperti Malaysia penting kepada Azerbaijan dalam aspek hubungan antarabangsa dan diplomasi.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh mengenai konflik Nagorno-Karabakh yang sedang berlangsung, Mammadyarov berkata Kerajaan Azerbaijan menghargai pendirian Malaysia berhubung isu ini.

Malaysia menyokong empat resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang diterima pakai ketika konflik, antara lain menekankan mengenai integriti wilayah Azerbaijan.

Azerbaijan dan Malaysia juga menikmati kerjasama yang erat dalam sektor tenaga, setakat ini Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah melabur lebih US$4 bilion.

Di samping itu, katanya beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara institusi pengajian tinggi kedua-dua negara.

Pada Februari 2016, MoU mengenai kerjasama mencegah rasuah, dimeterai antara Jabatan Anti Rasuah Azerbaijan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ujar beliau perjanjian kerjasama yang disepakati antara Agensi Berita Azerbaijan (AZERTAC) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada 2014 menjadi bukti kepada kemajuan signifikan dalam hubungan dua hala.

Bagaimanapun, katanya Azerbaijan mahu melihat kemajuan yang lebih banyak di lain-lain bidang kolaborasi.

Dalam konteks hubungan Azerbaijan-ASEAN, Mammadyarov berkata negaranya konsisten untuk meningkatkan hubungan dengan negara anggota pertubuhan itu dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, kemanusiaan dan lain-lain.

Dalam usaha memperkukuh lagi kerjasama dua hala, beliau berkata Azerbaijan telah membuka kedutaannya di Malaysia, Indonesia dan Vietnam.

Parlimen Azerbaijan juga telah meluluskan undang-undang untuk menubuhkan kedutaan di Thailand, katanya.

"Memandangkan peranan rantau ASEAN semakin signifikan dalam ekonomi global dan pembangunan sosioekonomi Azerbaijan, terdapat potensi besar untuk meningkatkan kolaborasi dua hala dalam perdagangan, pelaburan dan pelancongan," ujar Mammadyarov.- Bernama