Demi anak, separuh gaji untuk perubatan dia

Raman (tiga, kiri) sewaktu melawat Vimal(tiga, kanan) di rumahnya di Taman Berlian Biru, Kluang.
Raman (tiga, kiri) sewaktu melawat Vimal(tiga, kanan) di rumahnya di Taman Berlian Biru, Kluang.
A
A
A

KLUANG - Seorang lelaki di Taman Berlian Biru, di sini, terpaksa membelanjakan sebahagian duit gajinya sebagai operator pengeluaran semata-mata untuk melihat penderitaan yang dihadapi anaknya berakhir.

M Thiyagu, 50, berkata, anak tunggalnya, T Vimal, 13, mula menghadapi masalah penglihatan sejak berusia empat tahun walaupun dilahirkan dalam keadaan normal dan sihat tubuh badan.

“Sekarang anak saya cuma nampak sebahagian daripada tepi mata kiri dan kanan manakala bahagian depannya terus gelap walaupun kita lihat matanya normal seperti normal sama seperti orang lain.

“Selain masalah penglihatan, dia juga sering diserang penyakit sawan sejak umurnya sembilan tahun dan disahkan sebagai kanak-kanak autisme oleh doktor ketika berumur 7 tahun,” katanya.

Dia ditemui semasa menerima lawatan Penyelaras Pertubuhan Integrasi Nasional (PIN) Cawangan Kluang, G Raman di rumahnya di Taman Berlian Biru, di sini, hari ini.

Menurutnya, sehingga kini dia dan isterinya, K Saraswarhi, 49, masih belum mengetahui punca penyakit anaknya itu walaupun sudah beberapa kali menjalani pemeriksaan di pusat perubatan kerajaan dan swasta.

“Pendapatan saya sebagai operator pengeluaran hanya sebanyak RM2,500 sebulan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1,500 digunakan untuk kos rawatan dan perbelanjaan perubatan anak saya.

“Baki selebihnya pula hanya cukup untuk menampung keperluan keluarga termasuk membayar duit rumah serta bil utiliti setiap bulan dan harapan saya serta isteri memang mahu melihat Vimal sama seperti remaja seusianya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dia juga sudah puas melakukan pelbagai ikhtiar sama ada melalui rawatan moden dan tradisional, namun sehingga kini mereka masih menemui jalan buntu selain penyakit anaknya itu tidak menampakkan sebarang perubahan positif.