Pindah atau tutup kilang bergantung analisis: Menteri

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi , Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin (kanak-kanak ketika sidang media di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi , Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin (kanak-kanak ketika sidang media di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

PASIR GUDANG - Kerajaan tidak menolak akan mengambil keputusan menutup atau memindahkan operasi kilang kimia yang membahayakan keselamatan penduduk di Pasir Gudang.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, sebarang keputusan akan diputuskan selepas mendapat kesimpulan analisis beban pencemaran ke atas setiap kilang.

"Disebabkan kita tak boleh cari hubungkait antara mangsa dan bacaan (gas) maka kita akan membuat satu analisis beban pencemaran.

"Kita akan lihat hasil analisis sama ada kita akan pindah lokasi kilang, penutupan ataupun pengurangan pelepasan. Ini berkemungkinan besar sebab bacaan rendah tapi simptom itu masih ada," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, analisis beban pencemaran itu akan mengambil masa empat hingga enam minggu sebelum mencapai kesimpulan.

Menurutnya, beliau sudah mengarahkan pihak industri terlibat menyerahkan data yang boleh digunakan untuk analisis itu.

"Selepas itu mungkin kita akan kenakan syarat yang lebih ketat daripada yang sedia ada untuk industri di Pasir Gudang.

"Kalau masalah pelepasan itu benar, maka kita kena mengecilkan aktiviti industri di Pasir Gudang. Dalam empat hingga enam minggu baru boleh tahu kesimpulan kuantitatif daripada analisis itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya tentang jarak kilang dan perumahan yang terlalu hampir serta kemungkinan kerajaan mengeluarkan arahan penutupan demi keselamatan penduduk, Bee Yin berkata, pilihan itu akan dipertimbangkan berdasarkan hasil analisis tersebut.

"Ini salah satu pilihan yang kita akan pertimbangkan dalam analisis itu bergantung kepada kesimpulan. Untuk pindah kilang perlu ada bukti kuantitatif atau adakah kita boleh dapat penampan (buffer) fizikal berbanding penampan jarak.

"Kerajaan sentiasa prihatin kepada murid-murid, mengutamakan kesihatan daripada mengutamakan industri di sini. Kalau kita kena pilih, kita akan pilih mengutamakan kesihatan rakyat," katanya.

Beliau turut memaklumkan akan membentangkan memorandum kepada Kabinet Jumaat ini berhubung pemasangan sistem pemantauan pencemaran automatik.

"Kita akan ada stesen-stesen yang automatik di Pasir Gudang di mana ia akan membaca pencemaran yang lebih spesifik.

"Selepas pasang sistem ini, rakyat di Pasir Gudang boleh menyemak secara atas talian. Sekarang kita terpaksa buat secara manual menggunakan alat pengesan di 111 sekolah itu," katanya.