Gabung tadbir negeri: Pas bidas kenyataan PKR

PKR Terengganu mencabar negeri dibawah pentadbiran Pas dan UMNO memulangkan semula kerusi yang dimenangi untuk pembahagian yang lebih adil. Gambar (kiri) Mohd Nor Hamzah.
PKR Terengganu mencabar negeri dibawah pentadbiran Pas dan UMNO memulangkan semula kerusi yang dimenangi untuk pembahagian yang lebih adil. Gambar (kiri) Mohd Nor Hamzah.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu membidas kenyataan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri yang mencabar kerajaan di empat buah negeri yang diperintah parti itu dan UMNO untuk memulangkan semula kerusi serta membuat agihan yang lebih adil.

Ketua Penerangan Pas Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, parti lawan itu sepatutnya lebih bersabar menunggu episod taawun seterusnya dan bukan menunjukkan dengan jelas rasa gerun terhadap penyatuan UMNO dan Pas.

Menurutnya, taawun yang dimeterai itu pada peringkat awal itu adalah penyatuan seluruh ummah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan lebih awal.

“Kita sudah bersedia untuk menghadapi PRU15 sebagaimana seruan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya bersiap sedia bermula sekarang.

“Apa yang Pas dan UMNO cuba lakukan tidak lain hanyalah bagi memberikan kembali hak rakyat yang telah diputar belit oleh PH ketika mereka meraih undi dahulu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kenyataan dikeluarkan Pengerusi PKR Terengganu itu dilihat lebih menunjukkan rasa gerun terhadap penyatuan Pas dan UMNO.

“Kita amat gembira dengan kegelisahan yang ditunjukkan oleh PKR, walaupun taawun yang kami sedang bina ini tidak lagi sampai kepada kemuncaknya.

“Ia membuktikan gerakan politik Pas tidak dibuat secara semberono sehingga berjaya menimbulkan kegerunan di pihak lawan. Saudara Azan sepatutnya lebih bersabar menanti episod demi episod taawun ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, katanya, pihaknya mencadangkan supaya PKR Terengganu lebih memberikan tumpuan terhadap masalah dalaman yang dialami parti itu sendiri di samping menumpukan pelaksanaan janji-janji yang dibuat dalam manifesto tahun lalu.

“PKR harus membasmi kerja-kerja politik kotor dan ‘hanyir’ dalam kumpulan mereka dahulu dan memikirkan bagaimana mahu membawa pembangunan dari pusat ke negeri untuk membantu rakyat dan kerajaan negeri sebagaimana dikatakan politik berhemah, membantu rakyat tanpa mengira ideologi.

“Mereka juga sepatutnya terus bersuara seperti ketika melawan BN di Terengganu dahulu, iaitu mendesak Kerajaan Pusat membayar balik hutang-hutang mereka setelah menggunakan wang royalti rakyat Terengganu.

"Ini semua amat penting bagi rakyat Terengganu sekali gus dapat membuktikan bahawa PKR tidak hanya bersandiwara dalam membuat janji,” katanya.

Terdahulu, PKR Terengganu mencabar dua parti terbesar Melayu, Pas dan UMNO bergabung dalam urusan pentadbiran negeri sebagai terjemahan kepada kerjasama yang diputuskan oleh dua parti itu.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, ia bagi membuktikan keikhlasan jalinan kerjasama yang dilaksanakan antara dua parti itu serta sebagai bukti ia bukan bersifat retorik atau ‘senda politik’ semata mata.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas-UMNO dicabar bergabung urus tadbir negeri