Kedai makan bawah rumah

Sukardi (kanan) dan Sulastri menunjukkan hidangan yang terdapat di kedai mereka.
Sukardi (kanan) dan Sulastri menunjukkan hidangan yang terdapat di kedai mereka.
A
A
A

KLUANG - Siapa sangka kolong yang satu ketika dahulu menjadi ruang di bahagian bawah rumah Melayu tradisional untuk bersantai dan mengelak daripada banjir mampu menjadi tarikan jika dimanfaatkan dengan betul.

Kelebihan tersebut dimanfaatkan pengasas Restoran Bawah Kolong di Kampung Melayu, Sukardi Kasiman, 33, yang mewujudkan sebuah kedai makan di bawah kolong rumahnya sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, idea untuk mewujudkan restoran tersebut timbul selepas ibunya, Kamariah Kanan, 67, yang juga peniaga makanan mula menjadikan ruang tepi rumahnya itu sebagai lokasi untuk menjual makanan dan lauk pauk.

“Mula-mula sewaktu emak berniaga di sini cuma ada dua meja sahaja dan bila pelanggan emak semakin ramai, saya dapat idea untuk menggunakan kolong di bawah rumah ini sebagai kedai makan dan dari situ dapat nama Restoran Bawah Kolong ini.

“Dengan modal yang ada, kami kemudian menyimen ruangan bawah kolong ini untuk diletakkan meja dan kerusi selain mengecat semula ruangan bawah kolong ini bagi memberi keselesaan kepada pelanggan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sukardi berkata, seawal jam 10 pagi, kedainya itu sudah mula menghidangkan pelbagai makanan dan lauk pauk citarasa kampung yang diuruskan oleh kakaknya, Sulastri, 35, sehingga jam 4.30 petang.

 Pemandangan di Restoran Bawah Kolong.
Pemandangan di Restoran Bawah Kolong.

Katanya, terdapat 35 jenis lauk pauk di kedainya dan di antara menu yang sering menjadi pilihan pelanggan ialah ikan patin dan ayam kampung masak lemak, daging salai masak lemak cili padi, paru berlada, asam pedas dan sambal belacan.

Artikel Berkaitan:

“Pada sebelah petang dan malam pula, saya pula yang akan mengambil alih restoran ini dan menjual makanan panas yang dimasak oleh bapa mertua manakala saya memasak hidangan makanan barat (western).

“Bagi masakan panas antara menu yang menjadi pilihan pelanggan ialah Nasi Ujang yang datang dalam pilihan seperti Nasi Ujang Ayam, Nasi Ujang Daging, Nasi Ujang Udang, dan Nasi Ujang Puyuh,” katanya.

Sukardi berkata, antara menu makanan barat yang disediakan di kedainya ialah cheesy chicken grill, spageti aglio olio, spaghetti bolognese, spaghetti carbonara dan chicken wing dengan harga mampu milik.

Menurutnya, bagi cheesy chicken grill yang berhaga RM12, dia menggunakan bahagian dada ayam kerana lebih sihat dan mengenyangkan selain akan memasak hidangan tersebut secara panas berdasarkan tempahan pelanggan.

“Saya hanya belajar memasak makanan barat ini melalui saluran YouTube sahaja dan memang sebelum ini banyak buat percubaan sebelum kami jual kepada pelanggan kerana kita mahu pelanggan dapat menikmati hidangan yang betul-betul lazat sahaja.

“Kami ambil tempahan pelanggan terakhir pada jam 11.15 malam dan kebanyakan pelanggan yang pertama kali datang ke kedai kami teruja kerana dapat makan di bawah kolong dengan keadaan yang cukup santai,” katanya.

Katanya, sehingga kini dia pernah menerima pelanggan dari Brunei, Singapura, Indonesia dan Taiwan selain beberapa kali dikunjungi oleh selebriti terkenal seperti Sharol Shiro, Achey, Rahim dan Shuib Sepahtu.