RM3.4 juta insentif kepada bakal jemaah haji dari Selangor

Insentif berjumlah RM3.4 juta diperuntukkan bagi bakal jemaah Haji Muassasah Selangor.
Insentif berjumlah RM3.4 juta diperuntukkan bagi bakal jemaah Haji Muassasah Selangor.
A
A
A

GOMBAK - Sejumlah RM3.4 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi agihan sumbangan kepada 7,000 bakal jemaah haji muassasah dari Selangor tahun ini.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, jumlah insentif berkenaan meningkat berbanding tahun lalu dengan pertambahan bakal-bekal jemaah haji dari negeri ini.

Menurutnya, inisiatif tersebut dilaksanakan sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat.

“Ini adalah sebahagian daripada yang dilaksanakan yang dinamakan berkongsi kekayaan dan hasil dalam negeri. Ia bagi memastikan rakyat menikmati hasil daripada kemakmuran negeri ini.

“Dengan bantuan RM500 seorang dan barang kelengkapan, diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu bakal-bakal jemaah,” katanya pada Majlis Penyampaian Insentif Haji Muassasah Selangor MBI 2019 di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves, di sini hari ini.

Amirudin pada masa sama berkata, kerajaan negeri akan terus komited melaksanakan program-program peduli rakyat dengan menggunakan hasil yang diperolehi.

Ujarnya, usaha tersebut turut mendapat sokongan daripada anak-anak syarikat yang ditubuhkan.

“Walaupun kita berdepan dengan cabaran semasa, kita berada di landasan yang betul untuk meneruskan kejayaan.

Artikel Berkaitan:

“Sudut kewangan tidak hanya diletakkan bawah kerajaan negeri sebaliknya anak-anak kerajaan negeri seperti MBI yang menjana dan mendapatkan keuntungan daripada hasil perniagaan, turut dipulangkan kepada rakyat menerusi program insentif seperti ini,”katanya.

Terdahulu Amirudin menyampaikan sumbangan kepada 600 bakal jemaah haji dari Selangor.