Geng Vijay akhirnya tumpas

A
A
A

BERA - [DIKEMASKINI] Kelicikan Geng Vijay akhirnya tumpas selepas lima ahlinya termasuk seorang wanita ditahan dalam Ops pintu Khas berasingan.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, penangkapan seorang lelaki iaitu suspek utama berusia 30 tahun berjaya mendedahkan kesemua ahli geng terbabit termasuk barang kes.

Menurutnya, penahanan kesemua suspek yang berusia 20 hingga 36 tahun di sekitar Triang itu berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah yang berlaku di sekitar itu.

"Kesemua suspek berasal dari Triang kecuali seorang berasal dari Mentakab. Penangkapan terkini ahli geng itu ialah semalam," katanya.

Beliau berkata, operasi dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera dibantu Team D6 negeri.

Mansor memberitahu, tangkapan geng berkenaan turut membawa kepada rampasan 54 barang kes termasuk seutas rantai leher, rantai tangan putih, sebuah telefon jenama Sony Ericsson dan Huawei Y9, beberapa utas jam tangan pelbagai jenama dan sebuah televisyen.

"Turut dirampas beberapa unit playar, batu pengasah, pemutar skru yang diakui suspek sebagai alat pecah rumah.

Kesemua suspek direman hari ini untuk siasatan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mansor turut meminta orang ramai memastikan semua pintu dan tingkap dikunci rapi sebelum meninggalkan kediaman atau premis masing-masing sama ada meninggalkannya dalam waktu singkat atau lama.

"Pastikan segalanya dikunci rapi bagi mengelakkan penjenayah mengambil kesempatan.

"Selain itu, orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis jika ternampak atau mengetahui sebarang aktiviti jenayah yang berlaku di kawasan masing-masing," katanya.