Jadi ejen imigresen haram, wanita ditahan kaut jutaan ringgit

Syamsul Badrin (tengah) menunjukkan pasport yang dirampas
Syamsul Badrin (tengah) menunjukkan pasport yang dirampas
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang wanita yang mengaut keuntungan jutaan ringgit dengan menawarkan khidmat memperbaharui Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) kepada warga asing ditahan dalam Op Serkap di sebuah kondominium di Taman Melati Utama, Setapak, di sini, pada Khamis.

Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, siasatan mendapati wanita berumur 48 tahun itu menawarkan khidmat berkenaan kepada warga asing dan majikan dengan harga yang tinggi iaitu RM2,500 bagi pendaftaran RTK dan RM8,000 untuk memperbaharui PLKS.

"Wanita itu bertindak seolah-olah seperti ejen imigresen sejak setahun lalu, imigresen tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk melakukan urusan berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Jalan Duta, di sini, pada Khamis.

Syamsul Badrin berkata, pihaknya menjalankan risikan dan operasi selama sebulan apabila ada majikan yang membuat laporan mengenai aktiviti wanita terbabit.

Pihak imigresen turut merampas pasport bagi membantu siasatan.
Pihak imigresen turut merampas pasport bagi membantu siasatan.

"Siasatan mendapati wanita itu menjalankan aktiviti tersebut dengan bantuan daripada rakannya yang dipercayai warga Bangladesh untuk mendapatkan pelanggan dan mengaut keuntungan sehingga jutaan ringgit," katanya.

Beliau berkata, menerusi serbuan pada jam 11 pagi itu, tiga lelaki warga asing berusia 42 hingga 48 tahun yang sedang berurusan dengan wanita terbabit turut ditahan.

"Kita merampas 314 pasport Bangladesh, sebuah komputer, telefon bimbit dan wang tunai RM61,550," katanya.

Syamsul Badrin berkata, pihaknya turut menjalankan serbuan di premis pejabat milik wanita berkenaan di Taman Sri Rampai, Setapak, pada hari sama.

"Kita merampas antaranya 53 pasport Bangladesh, tujuh buku rekod bayaran, lapan fail syarikat dan tiga keping lesen syarikat.

"Kesemua individu itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Pasport 1959/63," katanya.