Johor tambah satu lagi telaga tiub

Dr Sahruddin (tujuh dari kiri) ketika hadir Majlis Penyerahan Hak Milik Geran Peneroka Peringkat 2 dan 3 di Dataran Selesa Felda Simpang Waha semalam.
Dr Sahruddin (tujuh dari kiri) ketika hadir Majlis Penyerahan Hak Milik Geran Peneroka Peringkat 2 dan 3 di Dataran Selesa Felda Simpang Waha semalam.
A
A
A

KOTA TINGGI - Kerajaan Johor akan berbincang dengan Badan Kawal Selia Air Negeri Johor (BAKAJ) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk menambah satu lagi telaga tiub bagi mengatasi masalah air yang berlaku di Gugusan Waha.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, sebanyak empat telaga tiub dengan kos sebanyak RM5 juta telah pun dibangunkan untuk menambahkan kapasiti air di loji rawatan air (LRA) Lok Heng.

"Memandangkan empat pun tidak mampu menampung keperluan penduduk, kerajaan negeri akan bincang dengan Bakaj dan Upen untuk tambah lagi tube well ini.

"Kerajaan negeri juga akan minta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan SAJ Ranhill tambah kapasiti lRA supaya bekalan air bersih dapat disalurkan ke Felda. Saya juga akan minta SAJ kaji apa tindakan segera untuk mengelakkan gangguan bekalan air di sini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Hak Milik Geran Peneroka Peringkat 2 dan 3 di Dataran Selesa Felda Simpang Waha petang semalam.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Tosrin Jarvanthi, ADUN Sedili, Rasman Ithnain, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Farizal Ismail, Ketua Peneroka Felda Simpang Waha, Abdul Rahman Abban.

Terdahulu, media melaporkan peneroka dan penerokawati di Gugusan Waha di sini iaitu Felda Bukit Easter, Felda Bukit Waha dan Felda Simpang Waha membuat piket secara aman meminta kerajaan negeri membantu menyelesaikan isu air di kawasan berkenaan yang telah dialami sejak 30 tahun lalu.

Ketua Peneroka Felda Bukit Easter, Isa Adan, 61, berkata, masalah terputus bekalan air, catuan air sering berlaku setiap kali musim perayaan juga kemarau di mana penduduk terpaksa berdepan isu yang sama saban tahun.

Artikel Berkaitan:

Dr Sahruddin berkata, kerajaan negeri memandang berat keluhan penduduk Felda mengenai isu ketiadaan air yang berlaku pada waktu puncak.

Beliau yang meminta maaf di atas permasalahan itu berkata, isu air tersebut juga turut berlaku di kawasan lain terutama pada hari raya kerana penggunaan air adalah meningkat sebanyak empat kali ganda ketika itu.

Pada majlis sama, Dr Sahruddin turut mengumumkan hadiah hari raya kepada generasi kedua Felda dalam Felda Wilayah Johor Bahru di mana kerajaan telah meluluskan sebanyak 2,276 permohonan tanah bagi tapak rumah generasi kedua Felda.

Kelulusan tersebut melibatkan Felda Aping Barat, Felda Tenggaroh Selatan 1, Felda Lok Heng, Felda Bukit Waha, Felda Bukit Easter, Felda Sungai Mas dan juga Felda Simpang Waha.