Kerajaan Johor usaha tangani masalah gangguan bekalan air

Mohd Fared (kanan) meninjau penggunaan tangki statik di Kampung Parit Puasa, pada Jumaat.
Mohd Fared (kanan) meninjau penggunaan tangki statik di Kampung Parit Puasa, pada Jumaat.
A
A
A

BATU PAHAT - Kerajaan Johor akan berhubung dengan pihak Ranhill SAJ dalam usaha menangani masalah gangguan bekalan air di sekitar kawasan Parit Sulong, setiap kali tiba musim perayaan.

Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, buat sementara waktu, beberapa tangki statik telah ditempatkan di kawasan-kawasan terjejas bagi memastikan penduduk dapat menikmati bekalan air bersih untuk kegunaan harian.

"Buat sementara ini kita telah tempatkan tangki-tangki statik di kawasan-kawasan terjejas.

"Namun, kita juga akan berbincang dan mencari jalan penyelesaian untuk jangka masa panjang dengan pihak Ranhill SAJ.

Mohd Fared berkata, pihaknya bersama Ranhill SAJ akan mencari jalan penyelesaian jangka masa panjang.

“Kita juga dimaklumkan di sekitar Semerah dan Parit Sulong ini ada perancangan bagi membina tangki kekal dan seterusnya mengatasi masalah gangguan air ini, " katanya pada Jumaat.

Mohd Fared sebelum itu melakukan tinjauan terhadap penempatan tangki air di lokasi yang dilaporkan mengalami gangguan bekalan air di sekitar Parit Sulong.

Malah menurut Mohd Fared, masalah gangguan bekalan air itu akan dibawa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) kelak.

Sementara itu Mohd Fared berkata, selain daerah Batu Pahat, pihaknya juga akan mencari penyelesaian terhadap masalah gangguan bekalan air di seluruh negeri

“Masalah berkaitan dengan bekalan air ini juga akan dicari penyelesaiannya dan bukan sahaja di kawasan ini (Semerah dan Parit Sulong) tetapi di seluruh negeri.

"Ini selaras dengan slogan Maju Johor dan kita tidak mahu ada kawasan di Negeri ini yang masih mengalami masalah seperti (gangguan bekalan air) ini," katanya.