Kilang proses minyak sawit diarah tutup

Hee Loy Sian
Hee Loy Sian
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri mengarahkan sebuah kilang memproses minyak sawit untuk menghentikan operasi selepas dikesan menyebabkan pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, pencemaran bau yang tinggi sehingga 70 ton jam 3.20 petang semalam menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih diarah henti tugas.

Menurutnya, arahan henti operasi itu dibuat bagi membendung pencemaran daripada menjadi lebih teruk.

"Langkah pembendungan menggunakan pengaktifan karbon dilakukan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pensampelan di lokasi yang ditetapkan antara titik pelepasan kilang sehingga ke Sungai Rinching sejauh 450 meter.

"Sehingga jam 6 pagi tadi, kesan bau menurun sehingga 0 ton dan LRA Sungai Semenyih telah beroperasi semula dengan pemulihan secara berperingkat di kawasan terjejas," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, jabatan berkaitan sedang meneliti tindakan berkaitan yang boleh di ambil berdasarkan Enekmen LUAS 1999 terhadap pelaku.

"Ia termasuk perintah di bawah Seksyen 121 (1) Enekmen LUAS 1999 yang boleh dikeluarkan kepada pihak kilang supaya menghentikan operasi kerja bagi tujuan melindungi alam sekitar, kesihatan dan keselamatan awam," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi pagi tadi mendapati agensi terlibat termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Unit Pengurusan Bencana Negeri, Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat serta Majlis Perbandaran Kajang ke kilang itu bagi pemeriksaan jam 8.30 pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Sumber JAS memaklumkan, LRA Semenyih kembali beroperasi selepas disahkan selamat namun pemeriksaan tetap dijalankan di kilang terlibat bagi memastikan insiden sama tidak berulang.

Beberapa kawasan di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang yang terkesan dengan gangguan bekalan air dan tekanan rendah bermula pada jam 9 malam tadi kembali pulih berperingkat sejak jam 6 pagi tadi.