MPK gempur kilang tak ada lesen

Operasi penguatkuasaan kilang haram dijalankan MPK sejak dua minggu lalu.( FOTO: SALURAN KOMUNIKASI MPKLANG).
Operasi penguatkuasaan kilang haram dijalankan MPK sejak dua minggu lalu.( FOTO: SALURAN KOMUNIKASI MPKLANG).
A
A
A

KLANG – Hanya tiga daripada 20 kilang dikesan mempunyai lesen sepanjang operasi penguatkuasaan kilang plastik haram yang dijalankan Majlis Perbandaran Klang (MPK) sejak dua minggu lalu.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, sehingga hari ini, pihaknya sudah menjalankan empat operasi terhadap kilang terbabit di daerah itu.

Katanya, operasi dilakukan unit khas penguatkuasaan pemeriksaan pelesenan kilang bagi memantau kewujudan kilang plastik yang tidak berlesen serta mengikut garis panduan peraturan MPK.

“Sejak dua minggu lalu, unit khas terdiri daripada kakitangan Jabatan Penguatkuasaan, Perlesenan, Kesihatan dan lain-lain lagi ditugaskan untuk memeriksa dari kilang ke kilang serta mengeluarkan kompaun bagi setiap kesalahan.

“Sehingga hari ini, kita telah melancarkan empat operasi dan membuat pemeriksaan ke atas 20 kilang yang dikenal pasti di Kawasan Perindustrain Air Hotam dan Telok Gong, di Pelabuhan Klang.

“Daripada jumlah itu, hanya tiga sahaja kilang mempunyai lesen manakala selebihnya beroperasi tanpa kebenaran. Hasil pemeriksaan di Kawasan Perindustrian Air Hitam, kita mendapati kelima-lima kilang yang diperiksa tidak mempunyai lesen, manakala hanya tiga daripada 15 kilang di Telok Gong berlesen,” katanya.

Mohamad Yasid (kiri) pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Penuh MPK, di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi, hari ini.
Mohamad Yasid (kiri) pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Penuh MPK, di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Penuh MPK, di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, operasi berkenaan akan dijalankan setiap hari dalam tempoh tiga bulan berturut-turut.

“Sudah banyak kali kita memberi peluang kepada pemilik kilang ini untuk memohon lesen tetapi mereka masih berdegil. Jadi kita terpaksa mengambil tindakan lebih tegas dalam hal ini.

“Sepanjang operasi ini, unit khas ini akan mengeluarkan kompaun kepada pemilik kilang terbabit yang mana mereka akan berdepan tindakan kompaun sebanyak RM125,000 sekiranya kilang tersebut beroperasi tanpa kebenaran menduduki (CF).

“Mereka juga boleh dikompaun RM25,000 jika tiada kebenaran merancang serta mereka juga boleh dikenakan kompaun sekiranya tidak menjaga kebersihan atau menjalankan pembakaran terbuka di kawasan kilang,” katanya.

Mohamad Yasid berkata, pemilik kilang turut berdepan tindakan mahkamah sekiranya gagal membayar kompaun terbabit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!