Empat remaja mengaku bersalah bergaduh di tempat awam

Empat remaja mengaku bersalah manakala seorang lagi tertuduh mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini atas pertuduhan bergaduh di tempat awam pada 19 Jun lalu.
Empat remaja mengaku bersalah manakala seorang lagi tertuduh mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini atas pertuduhan bergaduh di tempat awam pada 19 Jun lalu.
A
A
A

KUANTAN - Lima remaja termasuk dua pelajar institusi pengajian tinggi dan dua pekerja am pelabuhan di daerah ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas pertuduhan bergaduh di tempat awam pada 19 Jun lalu.

Dua pelajar, Muhammad Syamil Muhaimin Ahmad Rizal, 20, dan Muhammad Haziq Aiman Zamani, 20, juga dua pekerja am, Afif Shuhairi, 20, dan Muhammad Luqman Hakim Aminullah, 19, mengaku bersalah dan diperintahkan didenda sebanyak RM1,000.

Manakala, seorang lagi tertuduh, Ahmad Tirmizi Othman, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Izzati Zakaria.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama telah melakukan pergaduhan beramai-ramai di McDonalds Sungai Isap pada 19 Jun jam 1 pagi.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1,000 atau hukuman penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, mangsa telah dihubungi bapa saudara bekas tunangnya kira-kira jam 8 malam pada 18 Jun lalu untuk mengadakan pertemuan dengannya di restoran makanan segera tersebut.

Mangsa yang pergi melakukan pertemuan jam 1 pagi pada 19 Jun itu kemudian didatangi 12 lelaki yang membawa tiga kereta dan bertindak menumbuk mukanya selepas bertanyakan nama.

Kejadian itu menyebabkan mangsa dan rakannya mengalami kecederaan dan mangsa telah membuat laporan polis selepas kejadian tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ker Qi En manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kesemua tertuduh merayu kepada pihak mahkamah supaya jumlah jaminan dikurangkan disebabkan faktor kewangan.

Manakala, seorang lagi tertuduh, Ahmad Tirmizi dibenarkan diikat jamin RM1,000 dan tarikh 11 Julai ditetapkan untuk sebutan semula kes.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahasiswa dibelasah depan restoran makanan segera