Kelantan perintis program tuisyen percuma

Zafri (kanan) bersama Zawahir (tengah) menyampaikan kotak sumbangan Etiqa Takaful kepada penerima terpilih dalam program Kasih Syawal di Peralla hari ini.
Zafri (kanan) bersama Zawahir (tengah) menyampaikan kotak sumbangan Etiqa Takaful kepada penerima terpilih dalam program Kasih Syawal di Peralla hari ini.
A
A
A

TANAH MERAH - Kelantan merupakan perintis dalam program tuisyen percuma melalui projek Bantuan Pendidikan Etiqa Takaful bersama NGO, Islamic Aid Malaysia (IAM) yang melibatkan murid di dua sekolah rendah daerah ini.

Seramai 130 murid yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Panau dan SK Klewek terpilih menjayakan program ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Abdul Halim berkata, fokus program itu yang bebentuk kemasyarakatan adalah di bawah Projek Pendidikan.

Beliau berkata, pelaksanaan program ini adalah untuk membantu pelajar miskin yang terdiri daripada anak penoreh getah dan petani.

"Kita bukan sahaja beri tuisyen percuma malah turut memberi bekalan makanan supaya mereka dapat nutrisi makan yang betul dan dapat belajar dalam suasana yang lebih baik.

"Lagipun keperluan ini perlu memandangkan mereka ada di antaranya bukan orang senang dan ada ketikanya tidak mempunyai wang belanja cukup untuk makan tengah hari, maka kita jayakan program ini di samping bekalkan makanan untuk mereka sepanjang program berlangsung," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Etiqa Takaful Agih Zakat Korporat melalui 'Program Kasih Syawal' dan Pendidikan Anjuran IAM di dewan terbuka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Peralla, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengedaran Wilayah Etiqa, Rudy Che Lamin dan Presiden Islamic Aid Malaysia (IAM) Zawahir Abdullah.

Artikel Berkaitan:

Zafri berkata, program yang bermula sejak Mei lalu ini diharap dapat meningkatkan prestasi pelajar luar bandar dan golongan ini bukan sahaja boleh berjaya malah bebas dari kepompong kemiskinan.

"Kita akan pantau keadaan murid-murid ini dari semasa ke semasa iaitu semasa peperiksaan percubaan dan apabila mereka mendapat keputusan peperiksaan UPSR sebenar dan lihat perkembangan mereka.

"Di samping itu dengan kerjasama ini yang melibatkan pihak sekolah dan NGO, kita harap dapat menerima maklum balas positif dan melihat keberkesanan program untuk penambahbaikan bagi pelaksanaan program seumpama ini pada masa akan datang," katanya.