Tiada kemenangan percuma kepada BN-PH di DUN Pelangai

Mohd Tarmizi
Mohd Tarmizi
A
A
A

KUANTAN - Perikatan Nasional (PN) Pahang tidak akan sesekali memberi kemenangan percuma kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Perkara itu ditegaskan Ketua Penerangan Pas negeri, Mohd Tarmizi Yahaya selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang, menerima notis pengisytiharan kekosongan kerusi DUN Pelangai daripada Yang Dipertua DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin pada Isnin.

Beliau berkata, parti gabungan itu sudah bersedia untuk menempuh PRK DUN Pelangai yang akan ditetapkan tarikh oleh SPR dalam masa terdekat dan yakin mampu mencapai keputusan membanggakan.

"PN dalam misi memburu kerusi ke-18, kita rasa (yakin ) ada peluang untuk mendapatkan undi Melayu di DUN Pelangai.

"Jadi, kita tidak akan memberi laluan kepada BN-PH dengan kemenangan percuma di DUN Pelangai, sebaliknya PN Pahang akan masuk bertanding dan cuba untuk merebut kerusi ini," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menjawab mengenai calon, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching itu berkata, pihaknya sudah menghantar senarai nama calon-calon yang berkelayakan kepada Pas Pusat untuk membuat keputusan akhir.

"Siapa calon bertanding, itu rahsia dan ia masih lagi belum diputuskan oleh Pas Pusat. Tapi Pas Pahang mengharapkan supaya calon anak tempatan diketengahkan dalam PRK DUN Pelangai," ujarnya.

Pada Isnin, SPR memaklumkan akan mengadakan satu mesyuarat khas pada Khamis ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting pelaksanaan PRK DUN Pelangai, Pahang.

Artikel Berkaitan:

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan berkata, ia berikutan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu.

Allahyarham Johari, merupakan seorang daripada 10 mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam.

Jenazah Johari selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Gombak, Selangor, pada Ahad.

Johari, 53, yang merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri dipilih sebagai ADUN Pelangai selepas memenangi kerusi terbabit pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) tahun lalu.

Beliau bersaing empat penjuru dan memperoleh 7,308 undi dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat; calon Pakatan Harapan (PH), Ahmed Wafiuddin Shamsuri; dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Isa Ahmad.