Orang asli heret Kerajaan Perak ke mahkamah

Pam (dua dari kiri) bersama peguam, Haslina Lily(tiga dari kiri) dan Faizah (empat dari kiri) selepas selesai menghadiri pengurusan kes tuntutan saman sivil penduduk orang asli Kampung Cunex, Gerik terhadap Kerajaan Perak di Mahkamah Tinggi Taiping hari ini.
Pam (dua dari kiri) bersama peguam, Haslina Lily(tiga dari kiri) dan Faizah (empat dari kiri) selepas selesai menghadiri pengurusan kes tuntutan saman sivil penduduk orang asli Kampung Cunex, Gerik terhadap Kerajaan Perak di Mahkamah Tinggi Taiping hari ini.
A
A
A

TAIPING - Mahkamah Tinggi Taiping menetapkan tarikh 11 Julai ini untuk menentukan tarikh baharu pengurusan dan arahan selanjutnya kes tuntutan saman sivil penduduk orang asli Kampung Cunex, Gerik terhadap Kerajaan Perak hari ini.

Selain kerajaan negeri, penduduk orang asli Kampung Cunex diwakili, Pam Yeek sebagai plaintif turut menamakan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, Pengarah Tanah dan Galian Perak, Pengarah Jabatan Perhutanan dan Syarikat Sediavisi Jaya Sdn Bhd sebagai defendan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Taiping, Suhaima Mohd Noor turut menetapkan tarikh sama untuk menfailkan hujah pembelaan daripada defendan.

Kes tuntutan saman itu difailkan plaintif di mahkamah sama pada 3 Jun lalu.

Plaintif diwakili peguam, Haslina Lily Mohamad Redzuan Gunasingam.

Tuntutan saman dibuat penduduk orang asli Kampung Cunex, Gerik bagi meminta mahkamah mengiktiraf tanah diduduki mereka sebagai tanah adat di samping menghalang kerja-kerja pembalakan di kawasan tanah itu.

Sementara itu, Exco Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), Faizah Mohd Noor sewaktu ditemui selepas prosiding mahkamah merayu orang ramai menyalurkan sumbangan dana bagi membiayai kos mahkamah melibatkan tuntutan penduduk orang asli Kampung Cunex, Gerik.

Menurutnya, penduduk orang asli terlibat memerlukan dana sekurang-kurangnya RM30,000 bagi tujuan itu dan tambahan RM60,000 bagi dua lagi tuntutan kes saman melibatkan kawasan berkaitan.

Artikel Berkaitan:

"Meskipun peguam menawarkan perkhidmatan pro bono, kos menfailkan kes dan belanja perjalanan plaintif perlu diambil kira bagi memastikan hak penduduk orang asli terlibat terus terpelihara.

"Mana-mana pihak yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam bernombor 562106724536," katanya.