Port ponteng sekolah kena serbu

 Anggota SRS membuat pemeriksaan di dalam beg yang ditinggalkan pelajar.
Anggota SRS membuat pemeriksaan di dalam beg yang ditinggalkan pelajar.
A
A
A

KUALA NERUS - Anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) Teluk Ketapang dan SRS Bukit Tok Beng menggempur sebuah wakaf yang menjadi tempat pelajar ponteng di Taman Murni Indah di sini hari ini.

Ketua Skuad SRS Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Teluk Ketapang, Zainuddin Awang berkata, pihaknya berjaya menahan salah seorang daripada pelajar terbabit yang kemudiannya dibawa ke sekolah untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, lima pelajar yang berada di situ bertempiaran lari apabila menyedari kehadiran anggota SRS dan salah seorang dari mereka sanggup tinggalkan beg sekolah bagi mengelak daripada ditahan.

"Kita menerima aduan telefon pada jam 8.37 daripada penduduk mengadu seramai 13 hingga 18 pelajar dipercayai ponteng sekolah berada di sebuah wakaf dalam taman berhadapan rumah mereka.

"Apabila tiba di lokasi kita dapati ada lima orang pelajar namun, mereka bertindak melarikan diri meninggalkan lokasi sehingga beg sekolah tercicir dan kita hanya menahan seorang pelajar," katanya.

Zainuddin berkata, seorang pelajar yang ditahan kemudiannya dibawa semula ke sekolahnya dan diserahkan kepada unit kaunseling sekolah berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

"Kita menghargai maklumat diberikan dan berterima kasih kepada komuniti, SRS Tok Beng dan pihak KSIBK dan PIBG sekolah atas kerjasama bagi Projek Khas Sifar Ponteng Menjelang 2020 ini.

"Turut terlibat dalam Projek Khas Sifar Ponteng Menjelang 2020 itu ialah Kumpulan Sokongan Ibu Bapa dan Komuniti (KSIBK) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pihaknya turut membuat pemeriksaan di Balai Raya Bukit Tok Beng yang dipercayai menjadi kawasan parkir motosikal pelajar terlibat dalam aktiviti itu hasil maklumat SRS Bukit Tok Beng.