2,380 permainan 'squisy' tidak patuhi standard keselamatan dirampas

Anggota penguat kuasa KPDN Terengganu memeriksa barangan mainan kanak-kanak yang dijual.
Anggota penguat kuasa KPDN Terengganu memeriksa barangan mainan kanak-kanak yang dijual.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas sebanyak 2,380 unit barang permainan span lembut atau squisy bernilai RM30,391 menerusi operasi yang dijalankan di seluruh negeri bermula 3 Oktober hingga Isnin lalu.

​Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, kejayaan itu hasil 101 siri pemeriksaan dilaksanakan di pelbagai premis perniagaan termasuk pusat beli-belah, kedai runcit, kedai serbaneka, pasar raya, peniaga tepi jalan dan pasar malam.

​Menurutnya, operasi terbabit dijalankan bagi memastikan setiap barang permainan dijual di pasaran tempatan mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan iaitu Malaysian Conformity (MC).

​"Sebanyak enam premis di Kuala Terengganu telah diambil tindakan dan kes dibuka untuk siasatan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 serta peraturan-peraturan berkaitan standard keselamatan mainan.

​"Di bawah peraturan berkuat kuasa, mainan yang tertakluk kepada keperluan standard keselamatan hendaklah mematuhi standard ditetapkan, khususnya produk direka atau dimaksudkan untuk digunakan dalam permainan oleh kanak-kanak berumur bawah 14 tahun," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Anggota penguat kuasa KPDN Terengganu memeriksa barangan mainan kanak-kanak di sebuah premis sekitar negeri ini.
Anggota penguat kuasa KPDN Terengganu memeriksa barangan mainan kanak-kanak di sebuah premis sekitar negeri ini.

​Dalam pada itu, Mohd Mufsi mengingatkan semua pihak termasuk pengilang tempatan, pengimport, pembekal, pengedar dan peruncit agar sentiasa memastikan mainan kanak-kanak yang dibekal atau dijual mematuhi piawaian keselamatan serta mempunyai perakuan tanda pematuhan diwajibkan.

​"Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau pertanyaan boleh menyalurkannya kepada Bahagian Standard Kepenggunaan Ibu Pejabat KPDN menerusi talian 03-8882-5886 atau menghantar emel ke mysafe@kpdn.gov.my.," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!