Pantau sempadan elak seludup hasil tani

Anggota penguatkuasa MAQIS dan LKIM melakukan pemeriksaan terhadap lori yang membawa pelbagai jenis ikan di ICQS Bukit Kayu Hitam. - FOTO IHSAN MAQIS
Anggota penguatkuasa MAQIS dan LKIM melakukan pemeriksaan terhadap lori yang membawa pelbagai jenis ikan di ICQS Bukit Kayu Hitam. - FOTO IHSAN MAQIS
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mengingatkan pengimport hasil pertanian, sama ada sayuran, ikan atau ternakan supaya mendapatkan permit dari jabatan itu bagi mengelak dikenakan tindakan.

Menerusi satu kenyataan hari ini, MAQIS memaklumkan, akan terus memantau dan melakukan operasi bagi mengekang aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan negara.

Menurutnya, MAQIS dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengadakan operasi pada awal Jun, dengan memeriksa dua buah lori membawa pelbagai jenis ikan, di laluan kargo Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam namun tiada rampasan kerana mempunyai permit import sah.

Antara lori yang diperiksa dalam operasi pemeriksaan MAQIS dan LKIM di ICQS Bukit Kayu Hitam. - FOTO IHSAN MAQIS
Antara lori yang diperiksa dalam operasi pemeriksaan MAQIS dan LKIM di ICQS Bukit Kayu Hitam. - FOTO IHSAN MAQIS



Kotak mengisi ikan turut diperiksa bagi memastikan mematuhi peraturan ditetapkan.- FOTO IHSAN MAQIS
Kotak mengisi ikan turut diperiksa bagi memastikan mematuhi peraturan ditetapkan.- FOTO IHSAN MAQIS

“Kami melakukan operasi penguatkuasaan undang-undang dalam usaha memperketatkan kawalan pintu masuk sempadan bagi membanteras penyeludupan produk perikanan memasuki negara,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, isu penyeludupan antara kegiatan yang tidak pernah reda selagi ada permintaan dan penawaran antara dua pihak.

“Pemantauan dan operasi dibuat setiap bulan susulan terdapat beberapa kes melanggar peraturan Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728) yang dibimbangi boleh mengancam keselamatan makanan negara termasuk penyebaran penyakit,” katanya.

Artikel Berkaitan:

MAQIS berkata, bawah Peraturan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728) mewajibkan semua individu yang membawa barangan bawah kawalan Akta MAQIS memerlukan permit daripada MAQIS.

“Jika sabit kesalahan tidak memiliki permit, boleh didakwa bawah Seksyen 11(1) Akta 728 dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, Akta 728 digunapakai bagi memastikan kawalan penyakit haiwan/ikan/tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan mematuhi aspek kesihatan manusia serta mengawal kemasukan penyakit berbahaya yang boleh mengancam industri perikanan negara.