Bicara kes rasuah Ahli Lembaga Felda bermula 19 Ogos

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini, menetapkan lima hari bermula 19 Ogos ini untuk mendengar perbicaraan kes bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid yang menghadapi 14 tuduhan menerima rasuah bagi bayaran ansuran kenderaan lebih RM23,000.

Tarikh perbicaraan itu ditetapkan Hakim Azman Ahmad selepas sebutan semula kes itu hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norzilati Izhani Zainal @ Zainol memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya telah menyerahkan beberapa dokumen antaranya penyata akaun kepada pihak pembelaan hari ini.

“Hari ini pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen kepada pembelaan namun pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan lain kerana pihak kami masih berusaha untuk mendapatkan beberapa cek daripada bank berkaitan kes ini,” katanya.

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Noor Ehsanuddin, 56, mengesahkan pihak pembelaan telah menerima dokumen tersebut.

“Pihak kami memahami kesulitan yang dihadapi (pihak pendakwaan) untuk mendapatkan cek-cek tersebut. Jadi pihak pembelaan bersetuju dengan pihak pendakwaan untuk tarikh sebutan akan datang,” katanya dan mahkamah menetapkan 16 Julai untuk sebutan semula kes.

Pada 13 Februari lepas, Noor Ehsanuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Tinggi didakwa atas 14 tuduhan menerima rasuah bagi bayaran ansuran kenderaan berjumlah lebih RM23,000, pada 2014 dan 2015 daripada sebuah syarikat percetakan.

Bagi pertuduhan pertama sehingga ke-14, Noor Ehsanuddin, sebagai seorang penjawat awam iaitu Ahli Lembaga Pengarah Felda yang bertugas di Felda, didakwa telah menerima bayaran ansuran kenderaan keseluruhan berjumlah RM23,540.68 bagi kereta bernombor WQP 329 miliknya melalui cek daripada Karya Hidayah Sdn Bhd, yang beliau tahu ada hubungan dengan tugas rasminya.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan kenderaan itu adalah sebuah kereta jenis BMW 3 Series.

Noor Ehsanuddin dituduh melakukan kesemua pertuduhan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Taman Maluri, Cheras, di sini antara 10 Februari 2014 dan 9 November 2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama