Bengkel pintar pertama di Malaysia dilancar

Amirudin ketika merasmikan pembukaan bengkel pintar di Sepang Aircraft Engineering di sini.
Amirudin ketika merasmikan pembukaan bengkel pintar di Sepang Aircraft Engineering di sini.
A
A
A

SEPANG - Selangor mencatatkan sejarah tersendiri apabila sebuah bengkel pintar yang pertama di Malaysia dilancarkan di Sepang Aircraft Engineering (SAE) di sini.

Bengkel pintar tersebut merupakan milik SAE yang merupakan anak syarikat milik penuh Airbus.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bengkel pintar ini merupakan tempat membaik pulih radom iaitu muncing pada pesawat.

"Saya difahamkan bengkel pintar ini terdiri daripada tiga bilik pemeriksaan, sebuah bilik mengempelas, dua ruang menyembur cat yang khusus, sebuah bengkel bilik bersih dan sebuah bilik pengeringan serta membaik pulih cat.

"Tahap kecekapan bengkel ini dipertingkatkan melalui penggunaan teknologi digital pintar secara ekstensif yang dapat memanfaatkan data diperolehi dari pesawat sepenuhnya dan penggunaan fungsi automasi secara maksima," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir merasmikan pembukaan bengkel pintar di Sepang Aircraft Engineering di sini hari ini.

Amirudin bergambar bersama kakitangan Sepang Aircraft Engineering di sini.
Amirudin bergambar bersama kakitangan Sepang Aircraft Engineering di sini.

Katanya, pembukaan bengkel pintar pertama di Malaysia ini memberi manfaat kepada negeri Selangor secara amnya.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang menariknya, bengkel ini merupakan yang seumpamanya dibangunkan di Malaysia.

"Ini merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-11, dana dan geran sebahagiannya untuk membuat kajian dan alatan dan komponen yang akan dibaiki di sini," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sepang Aircraft Engineering, Raymond Lim berkata, melalui penggunaan teknologi pintar dan digitalisasi, pihaknya dapat mempertingkatkan tahap kecekapan di SAE.

"Sekali gus kami dapat memberikan perkhidmatan lebih bernilai kepada pelanggan dengan mengurangkan masa tidak beroperasi pesawat.

"Ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan yang telah dilaksanakan oleh Airbus di Malaysia berpotensi untuk mengubah sektor penyelenggaraan, pembaikan dan pemulihan (MRO)," katanya.

Katanya, di samping itu, kedua-dua hangar yang ada ini boleh menempatkan sebanyak lapan buah pesawat lorong tunggal pada satu masa.

"Ia turut merangkumi ruang mengecat tertutup mesra alam berdedikasi yang pertama di Malaysia, mampu menangani kerja mengecat rumit seperti insignia serta dekorasi pesawat.

"Bengkel berteknologi canggih ini juga menyediakan perkhidmatan pembaikan dan baik pulih kepada sebilangan besar pesawat, bahagian struktur dan pemasangan kerusi penumpang," katanya.