Tabung bantu Sufi Syafrina dilancar

Sufi Syafrina yang menghidap penyakit genetik SMA Jenis 1 memerlukan RM9 juta bagi menampung kos perubatannya.
Sufi Syafrina yang menghidap penyakit genetik SMA Jenis 1 memerlukan RM9 juta bagi menampung kos perubatannya.
A
A
A

SHAH ALAM - Sinar Harian melancarkan tabung bagi mengumpul dana untuk membantu bayi berusia 6 bulan, Sufi Syafrina Mohd Shafiq yang menghidap penyakit genetik Atrofi Otot Spina (SMA) Jenis 1 dan memerlukan suntikan jenis Zolgensma untuk pulih.

Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, tabung berkenaan sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama komuniti atas dasar kemanusiaan.

“Kita bukan sahaja membantu adik Sufi untuk pulih, tetapi dapat menghebahkan pengetahuan mengenai masalah penyakit genetik yang jarang dijumpai ini kepada orang ramai.

“Sinar Harian merupakan platform terbaik bagi masyarakat yang ingin menyalurkan setiap wang sumbangan mereka kerana kita akan sampaikan bantuan ini secara terus kepada pihak keluarga,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Nik Justin Nik Mohd Ariffin
Nik Justin Nik Mohd Ariffin

Menurutnya, setiap sumbangan yang diperoleh daripada orang awam atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan sentiasa dikemas kini dari masa ke masa bagi memastikan ia dilakukan secara telus.

Pada Ahad, media tempatan melaporkan, Sufi Syafrina yang didiagnosis menghidap penyakit genetik jarang berlaku memerlukan bantuan sebanyak RM9 juta bagi menampung kos perubatan.

Bapa kepada Sufi Syafrina, Mohd Shafiq berkata, jumlah terkumpul setakat ini hanya RM60,000.

Dalam pada itu, Nik Justin berkata, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Sinar Karangkraf: 564276-529068 - Tabung Bantuan Sufi Syafrina.

“Kita akan terus membuka tabung ini bagi mengumpul dana untuk diserahkan kepada keluarga Sufi Syafrina.

“Tabung ini hanya akan ditutup kepada orang ramai apabila mencapai jumlah kutipan yang mencukupi,” katanya.