KDNK Selangor catat sejarah paling tinggi sejak ditadbir PH

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Selangor tahun lalu mencatat sejarah paling tinggi sejak Pakatan Harapan (PH) diberi amanah mentadbir negeri ini pada 2008.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sektor pembuatan Selangor kini menyumbang satu pertiga daripada keseluruhan industri pembuatan di negara ini dengan peningkatan sebanyak 9.0 peratus pada tahun lalu.

"Sektor pembinaan melebihi satu pertiga daripada aktiviti seluruh negara iaitu bersamaan dengan 34.1 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Amirudin berkata, sektor perkhidmatan di negeri ini pula terus rancak dan mencatatkan pertumbuhan paling tinggi berbanding mana-mana negeri iaitu sebanyak 13.6 peratus pada tahun lalu.

"Saya amat berbesar hati dengan pengiktirafan ini kerana kejayaan hebat hanya terhasil daripada kebersamaan, ketekunan dan perancangan pasukan saya dalam

barisan Exco serta pasukan penjawat awam yang begitu komited untuk memacakkan kedudukan Selangor sebagai enjin ekonomi Malaysia ke arah menjadi negeri terunggul di Asia Tenggara.

"Kejayaan sebegini juga menampilkan dan membuktikan keyakinan komuniti pelabur dari dalam dan luar negara terhadap pentadbiran negeri Selangor yang terus beriltizam untuk mengemudi negeri paling maju di Malaysia secara telus dan adil sambil memudahcara urusan perniagaan agar rakyat terus mempunyai peluang pekerjaan bergaji tinggi serta bermaruah," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, pencapaian prestasi pertumbuhan itu dapat menjamin kemakmuran Selangor sebagai gedung ekonomi Malaysia dan menjadi paksi kepada kestabilan pentadbiran serta kesejahteraan rakyat.

"Saya mengucapkan sekalung tahniah kepada setiap individu yang telah memainkan peranan yang begitu penting bagi merealisasikan kejayaan ini dan yakin bahawa era kegemilangan Selangor hanya dapat diteruskan apabila pentadbiran ini diamanahkan mandat baharu dalam Pilihan Raya Negeri akan datang," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Selangor menyumbang 25.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terbesar dalam negara pada tahun lalu.

Pertubuhan ekonomi negeri itu pada tahun lalu ialah 11.9 peratus mengatasi KDNK negara pada 8.7 peratus.