Hormati Anwar, lantikan Pengerusi PKR bukan dipilih semberono

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

PUTRAJAYA - Proses pelantikan Pengerusi PKR negeri yang dipilih oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melalui perbincangan dengan semua ketua cabang dari Perlis hingga Sabah.

Prosedur pemilihan yang dijalankan bukanlah dibuat secara semberono atau kelam-kabut, sebaliknya ia memenuhi semua ketetapan Perlembagaan PKR.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, malah katanya, Anwar mengambil masa sebulan lebih untuk melakukan rundingan sebelum melantik pengerusi-pengerusi PKR negeri.

“Saya mulakan dengan berkongsi Perlembagaan parti, dalam hal melantik pengerusi PKR negeri ialah Presiden boleh melantik seseorang pengerusi PKR negeri setelah berunding dengan ketua-ketua cabang.

“Sebab itu beliau (Anwar) mengambil masa sebulan lebih selepas pemilihan PKR berakhir. Beliau perlukan masa yang lama untuk berunding dengan semua ketua-ketua cabang dari Perlis hingga Sabah, jadi selepas berunding barulah lantikan di buat.

"Hal demikian, adalah menjadi tanggungjawab setiap anggota parti di semua peringkat untuk menghormati proses itu,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan majlis penyampaian sijil Food Truck Malaysia (FTM) dan penyerahan kenderaan dalam program transformasi peniaga oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini, hari ini.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengingatkan kepada anggota PKR yang mempertikai pilihan Anwar untuk posisi Pengerusi PKR Negeri didakwa dibuat tanpa rundingan itu adalah tidak benar sama sekali.

“Kalau Presiden dikatakan lantik Pengerusi PKR negeri tanpa berunding, mesti lepas sahaja ucapan penutupan Kongres PKR beliau telah umumkan, tapi itu tidak berlaku.

Artikel Berkaitan:

“Ada ketua-ketua cabang yang dipanggil ke pejabatnya, ada yang beliau turun sendiri ke negeri-negeri. Anwar telah memenuhi semua ketetapan Perlembagaan PKR,” jelasnya.

Sehubungan itu, Saifuddin menegaskan sewajarnya anggota parti menghormati keputusan itu dan ia akan lebih melegakan dan mengurangkan masalah seperti melaksanakan pelan pemulihan dan sebagainya.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu juga menyatakan bahawa sokongan 13 cabang di Pulau Pinang terhadap pelantikan Nurul Izzah Anwar juga kuat, jadi tiada masalah jika Presiden melantik beliau mengemudi PKR di negeri itu.

“Apabila Nurul Izzah tarik diri kita berharap juga beliau ubah keputusan kerana itu lebih baik, namun jika perkara itu tidak berlaku, saya percaya Presiden PKR akan meneliti semula kalau ada keperluan tapi buat masa sekarang Nurul Izzah tidak bercadang ubah fikiran.

“Tentu Anwar akan kaji semula, begitu juga dengan kedudukan Pengerusi PKR di Johor, tapi sebelum melakukan perubahan atau pengumuman baharu, saya percaya Anwar akan menghubungi dan berbincang lagi dengan mereka,” ujarnya.

Bahkan, mengenai kedudukan Nurul Izzah di posisi Naib Presiden PKR juga masih belum difikirkan pengganti.

“Saya belum terima lagi tapi saya tanya sendiri dengan Nurul Izzah dan perkara itu telah disahkan. Surat itu cuma formaliti sahaja yang penting beliau sudah meluahkan hasratnya,” katanya.

Beliau turut mengulangi gesaan untuk semua ahli PKR setiap peringkat menghormati keputusan Anwar kerana beliau mengikuti semua ketetapan Perlembagaan PKR.

Bagi kekosongan jawatan Pengerusi PKR Pulau Pinang dan Johor akan dibincang dan diisi bagaimaapun tiada had masa ditetapkan.