Pelajar cedera di kepala, motor ditunggang terlibat nahas

Keadaan motosikal mangsa.
Keadaan motosikal mangsa.
A
A
A

MELAKA - Seorang pelajar mengalami pendarahan di kepala selepas motosikal yang ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Pulau Gadong berhampiran Empangan Pulau Gadong di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa, Muhammad Alif Danial Azueen, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist, Tengkera telah dibawa ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 2.31 pagi.

"Hasil siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku ketika sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipandu seorang lelaki berusia 51 tahun dari arah bandaraya Melaka hendak menghala ke Klebang. Dia menghentikan kenderaan di bahu kiri jalan sebaik tiba di Jalan Pulau Gadong berhampiran simpang Lorong ke Kampung Tengah.

"Kereta berkenaan kemudiannya memberi isyarat ke kanan untuk keluar dan masuk ke arah lorong Kampung Tengah di sebelah kanan. Tiba-tiba datang motosikal mangsa dari arah kanan terus terlanggar kereta berkenaan di bahagian hadapan sebelah kanan.

"Kejadian telah menyebabkan mangsa tercampak melambung ke laluan bertentangan dan mengalami kecederaan," katanya.

Hasan berkata, siasatan masih lagi diteruskan dan kes disiasat di bawah Sekyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: