Politik Indonesia umpama sinetron

A
A
A
KETIKA menulis rencana ini, saya sedang berada di Jakarta, Indonesia. Sepanjang di sini, saya dapat melihat bagaimana demonstrasi besar-besaran berlaku di negara ini. Tidak seperti di negara kita, demonstrasi di sini lebih ganas walaupun akhirnya berjaya dikawal oleh pihak berkuasa.

Ketika bergerak dalam ibu kota Jakarta ini, polis dan tentera masih berada di mana-mana walaupun sudah tiada lagi kumpulan-kumpulan yang berdemonstrasi. Banyak jalan yang ditutup sebagai langkah berjaga-jaga. Dilaporkan lebih kurang 60,000 anggota keselamatan telah dikerahkan untuk menjaga keamanan di sekitar ibu kota Jakarta.

Rakyat Indonesia yang menyertai demonstrasi ini rata-ratanya kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pilihanraya atau Pemilihan Presiden (Pilpres) yang berpihak kepada Joko Widodo (atau lebih dikenali sebagai Jokowi) dan Ma'ruf Amin dengan memperoleh undian sebanyak 55.5% (85,607,362 undi) berbanding calon Presiden Prabowo Subianto dan gandingannya Sandiaga Uno yang memperoleh undian sebanyak 44.5% (68,650,239 undi).

Menurut sumber daripada rakan saya di Indonesia, demonstrasi besar-besaran ini sebenarnya sudah dijangka daripada awal tidak kira siapa pun yang akan memenangi Pilpres ini.

Keputusan Pilpres ini tidak diterima oleh kem Prabowo-Sandiaga kerana menganggap keputusan tersebut penuh dengan ketidakadilan. Justeru, kem Prabowo-Sandiaga telah memfailkan bantahan dan rayuan keputusan tersebut kepada Mahkamah Konstitusi Indonesia (Mahkamah Perlembagaan) walaupun pada awalnya mereka enggan berbuat demikian kerana merasakan tidak berguna.

Perlembagaan Indonesia 1945 menetapkan bahawa hanya Mahkamah Konstitusi yang mempunyai bidang kuasa untuk mendengar sebarang bantahan atau semakan terhadap keputusan plihan raya di Indonesia. Komisi Pemilihan Umum (atau di negara kita dikenali sebagai Suruhanjaya Pilihan Raya) telah memberikan 72 jam kepada pihak yang kalah untuk memfailkan bantahan dan rayuan kepada Mahkamah Konstitusi.

Dalam membuat semakan terhadap keputusan Pilpres ini, kem Prabowo-Sandiaga telah memfailkan tujuh tuntutan kepada Mahkamah Konstitusi antaranya adalah untuk mengisytiharkan bahawa pencalonan Jokowi-Ma’aruf sebagai terbatal dan keputusan Pilpres itu sendiri tidak sah.

Politik terterukAmat menarik untuk kita melihat perkembangan kepada proses rayuan ini. Ramai kenalan pengamal undang-undang saya di Indonesia berpendapat bahawa kem Prabowo-Sandiaga tidak mempunyai bukti-bukti yang kukuh untuk meyakinkan Mahkamah Konstitusi agar berpihak kepada mereka.

Apabila kem Probowo-Sandiaga mengatakan bahawa Mahkamah Konstitusi bukan jalan yang terbaik untuk menyatakan bantahan mereka kerana mahkamah dilihat sebagai berat sebelah dan tidak berguna, pihak Mahkamah Konstitusi telah mengeluarkan satu kenyataan dalam membalas tuduhan liar ini. Mahkamah Konstitusi antara lain, secara tegas menuntut agar kem Prabowo-Sandiaga membawa fakta dan bukti kepada mahkamah jika mahu membantah keputusan Pilpres tersebut dan bukannya sekadar kenyataan yang bersifat tohmahan dan andaian.
Artikel Berkaitan:


Prabowo yang juga pernah tewas kepada Jokowi pada Pilpres 2014 yang lalu dan bantahan beliau ke Mahkamah Konstitusi ketika itu telah ditolak, beliau akhirnya memutuskan untuk membawa bantahan terhadap keputusan Pilpres kali ini ke Mahkamah Konstitusi. Malah, orang kanan Probowo sendiri mengatakan bahawa kemungkinan bantahan mereka kali ini akan turut ditolak sekali lagi oleh Mahkamah Konstitusi.

Proses perbicaraan mengenai semakan keputusan Pilpres ini akan bermula pada 14 Jun dan Mahkamah Konstitusi dijangka membuat keputusan pada 28 Jun 2019.

Berbalik kepada isu demonstrasi yang berlaku di Jakarta kali ini, telah dilaporkan bahawa terdapat enam orang yang terbunuh dan lebih 200 orang yang tercedera dalam demonstrasi tersebut. Turut dikatakan bahawa ini antara demonstrasi politik terteruk dalam sejarah moden Indonesia.

Sepanjang berada di Jakarta, saya melihat banyak kain rentang yang mengucapkan tahniah kepada Prabowo-Sandiaga sedangkan Jokowi-Ma’aruf yang telah memenangi Pilpres tersebut.

Rakan-rakan saya di Jakarta mengatakan bahawa kain rentang ini dinaikkan penyokong Prabowo-Sandiaga sebagai tanda protes. Turut dikatakan bahawa kem Prabowo-Sandiaga sendiri yang menaja kos-kos berkaitan rain rentang ini sebagai satu bentuk ‘perang psikologi’.

Politik Indonesia sebenarnya amat menarik untuk diperhatikan dan diikuti. Kita amat bersyukur, pada ketika Barisan Nasional tumpas dalam PRU tahun lalu, tiada sebarang rusuhan.

Semoga rakyat kita akan terus terdidik dalam ilmu politik negara dan akan terus matang dalam menilai hal-hal berkaitan politik.

* Haeme Hashim ialah peguam di HaemeHashim & Co.