KPDNHEP keluar 13 notis amaran

Penguat kuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan di bazar Ramadan.
Penguat kuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan di bazar Ramadan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu telah mengeluarkan 13 notis amaran sepanjang menjalankan pemeriksaan di bazar Ramadan seluruh negeri ini.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, notis yang dikeluarkan itu adalah bagi kesalahan tidak meletakkan tanda harga.

Menurutnya, pemeriksaan itu melibatkan 110 anggota penguat kuasa dan 60 Pegawai Pemantau Harga dari Majlis Harga Barangan Negara ke atas 129 bazar Ramadan.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 6,987 buah premis telah diperiksa dan 13 amaran telah dikeluarkan. Hasil daripada pemeriksaan berulang, 13 peniaga yang diberi amaran telah mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi Hari Raya Aidilfitri telah bermula pada 21 Mei lalu.

Katanya, KPDNHEP Terengganu telah memeriksa sebanyak 1,353 premis di peringkat borong dan runcit.

“Secara umumnya, tahap pematuhan amat baik dan tidak ada kes-kes yang begitu ketara berlaku. Ini terbukti apabila sehingga kini, hanya sebanyak 3 kes telah dihasilkan dengan nilai rampasan RM157.50 dan jumlah keseluruhan kompaun berjumlah RM300.00,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Penguat kuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan.
Penguat kuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan.

Jelas beliau, berdasarkan statistik tindakan penguatkuasaan melibatkan semua akta sepanjang tahun 2019, KPDNHEP Terengganu telah melakukan 23,652 pemeriksaan di seluruh Terengganu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 315 kes dihasilkan dengan nilai rampasan berjumlah RM320,986.93 dan kompaun sebanyak RM40,100.

Bagi hukuman denda oleh mahkamah pula, sebanyak 27 kes telah disabit kesalahan dan dikenakan denda berjumlah RM139,800 bagi keseluruhan kes di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Kita ingin menggesa orang ramai supaya memberi kerjasama untuk memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

“Sebarang maklumat atau aduan boleh disalurkan ke talian bebas tol, 1-800-886-800 atau aduan melalui aplikasi WhatsApp 019-279 4317. Pengguna juga boleh membuat aduan secara atas talian di http://eaduan.kpdnhep.gov.my atau SMS aduan ke 15888 dengan menaip KPDNHEP ADUAN.

“Mereka juga boleh menggunakan aplikasi telefon pintar EZAdu KPDNHEP, atau laporkan melalui media sosial Tweeter dan Facebook KPDNHEP,” katanya.