8 sampel makanan bazar Ramadan di Terengganu tercemar

Lapan daripada 69 sampel makanan yang diperoleh dari bazar Ramadan di sekitar Terengganu mendapati ia tercemar dan mengandungi bakteria. - Foto hiasan/Bernama (Gambar kecil: Alias)
Lapan daripada 69 sampel makanan yang diperoleh dari bazar Ramadan di sekitar Terengganu mendapati ia tercemar dan mengandungi bakteria. - Foto hiasan/Bernama (Gambar kecil: Alias)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hasil analisis terhadap lapan daripada 69 sampel makanan yang diperoleh dari bazar Ramadan di sekitar negeri ini mendapati ia tercemar dan mengandungi bakteria.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Datuk Dr Alias Razak berkata, status makanan itu diperoleh hasil analisis mikrobiologi dijalankan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).

"Sehingga 14 April lalu, sebanyak 69 sampel makanan telah diambil yang mana 61 sampel makanan (88.4 peratus) merupakan sampel analisis mikrobiologi manakala lapan sampel (11.6 peratus) adalah analisis kimia.

"Daripada 61 sampel analisis mikrobiologi, lapan sampel makanan (13.11 peratus) didapati tercemar dan mengandungi bakteria," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak 222 notis kompaun dengan nilai RM24,800 telah dikeluarkan pihak JKNT hasil 3,431 pemeriksaan yang dijalankan di 57 bazar Ramadan melibatkan 4,102 peniaga.

Jelasnya, kompaun tersebut dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Makanan 1983 (Akta 281).

"Antara kesalahan paling banyak dikesan ialah tidak memakai apron atau pakaian bersih melibatkan 113 notis, tidak menjaga kebersihan diri (49 notis), tidak mengikuti latihan pengendali makanan (35 notis), menggaji pengendali makanan tiada latihan dan suntikan anti typhoid (14 notis) dan lain-lain kesalahan (11 notis).

"Selain itu, pihak Penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) juga mengeluarkan 105 kompaun atas kesalahan di bawah Seksyen 107 (2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 iaitu tiada kad pengendali makanan serta sembilan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja MBKT 1980 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen," ujarnya.

Sementara itu, Alias berkata, sebanyak 3,416 premis telah mencapai tahap kebersihan 80 peratus manakala 15 premis kurang bersih dengan pencapaian antara 60 peratus hingga 79 peratus.

"Walaupun pada tahun ini kita belum ada lagi kes melibatkan keracunan makanan seperti berlaku pada tahun lalu, kita harap pembeli dan pengunjung bazar perlu berwaspada ketika memilih makanan.

"Pilih makanan yang diyakini bersih sama ada dari segi penyediaan, kebersihan premis, dan makanan itu sendiri," katanya.