Warga emas melecur terkena api

Anggota Bomba dan Penyelamat mengawal kebakaran di dua rumah di Kampung Baru Bidor, di sini hari ini.
Anggota Bomba dan Penyelamat mengawal kebakaran di dua rumah di Kampung Baru Bidor, di sini hari ini.
A
A
A

BIDOR - Seorang warga emas melecur selepas rumah yang didiami terbakar di Kampung Baru Bidor, di sini, hari ini.

Mangsa, Lim Sai Guik, 58, mengalami kecederaan di bahagian belakang badan dan bahu sebelah kanan akibat terkena api.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian bermula jam 10.15 pagi melibatkan dua rumah kayu yang terletak 500 meter dari jalan utama.

Katanya, ketika kejadian, mangsa bersama suami dan dua cucu berada di rumah berkenaan tetapi kesemua mereka tidak mengalami kecederaan.

"Ketika kejadian mangsa berada di dalam rumah. Apabila api marak dengan cepat mangsa telah berlari keluar daripada rumah. Orang ramai telah membantu mangsa dengan cuba memadamkan api tetapi tidak berjaya.

"Bagaimanapun, dalam keadaan api merebak dengan cepat, mangsa cuba masuk kembali ke dalam rumah untuk menyelamatkan barang-barang peribadi dan kemudian menyebabkan mangsa mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Wan Azharuddin berkata, mangsa yang cedera menerima rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Pantai Ipoh.

Beliau berkata, dalam masa 5 minit, kebakaran tersebut juga merebak ke sebuah lagi rumah di hadapan rumah pertama yang terbakar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bagaimanapun rumah tersebut telah dikosongkan oleh penghuni yang sempat menyelamatkan diri.

Katanya, punca kebakaran masih belum diketahui dan siasatan dibuat oleh pihak Bomba dan Penyelamat mendapati tiada unsur jenayah.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Muhammad Asyraf Mat Isa berkata, lima anggota dan dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian setelah pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.38 pagi.


Sivanesan (kiri) turut meninjau keadaan dan bertemu dengan mangsa serta mengumumkan bantuan kecemasan kepada mangsa terlibat.
Sivanesan (kiri) turut meninjau keadaan dan bertemu dengan mangsa serta mengumumkan bantuan kecemasan kepada mangsa terlibat.

Katanya, kebakaran itu melibatkan dua rumah kelas B yang mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal kebakaran.

Sementara itu, dua mangsa kebakaran rumah di Kampung Baru Bidor, di sini menerima bantuan kecemasan RM4,000 setiap seorang bagi meringankan beban.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, daripada jumlah tersebut, RM2,000 disumbangkan menerusi peruntukan ADUN Sungkai manakala RM1,000 daripada Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang dan RM1,000 lagi daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, kerajaan negeri akan memikirkan bantuan lain selepas ini seperti pembinaan rumah baharu dan sebagainya.

"Kita bersimpati dengan nasib yang menimpa kedua-dua mangsa dan saya telah berbincangan dengan jabatan berkaitan untuk memberikan bantuan segera berupa bayaran sewa rumah untuk mangsa sementara mereka dapat rumah baharu.

"Difahamkan setakat ini mereka akan tinggal bersama rakan dan ahli keluarga berhampiran memandangkan belum sempat mencari rumah lain untuk disewa," katanya.

Sivanesan yang juga ADUN Sungkai berkata, jumlah keseluruhan sumbangan kecemasan yang diserahkan kepada mangsa adalah RM8,000.

Mengenai pembinaan rumah baharu untuk mangsa, beliau menjelaskan pihaknya akan berbincang dengan Yayasan Perak mengenai perkara tersebut.