Anggota badan warga emas ditemui dalam perut dua buaya

Kematian Darmody merupakan kes serangan buaya ke 13 yang berlaku di Queensland sejak 1985. - Gambar hiasan
Kematian Darmody merupakan kes serangan buaya ke 13 yang berlaku di Queensland sejak 1985. - Gambar hiasan
A
A
A

QUEENSLAND - Anggota badan seorang lelaki warga Australia yang hilang ketika memancing bersama rakan-rakannya ditemui di dalam perut dua ekor buaya.

Memetik BBC, Kevin Darmody kali terakhir dilihat di sebuah lokasi memancing, Kennedy's Bend yang merupakan habitat buaya air masin yang terkenal di bahagian terpencil utara Queensland pada Sabtu.

Menurut pihak berkuasa, mayat Darmody ditemui selepas polis menemui anggota badan manusia di dalam badan dua ekor buaya bersaiz besar.

Kedua-dua buaya itu berukuran 4.1meter (m) dan 2.8m panjang, ditembak mati pada Isnin kira-kira 1.5 km dari lokasi terakhir Darmody dilihat.

Tambah pihak berkuasa, kejadian ini disifatkan sebagai ‘pengakhiran tragis’ bagi pencarian warga emas berusia 65 tahun itu.

Darmody ialah seorang nelayan yang berpengalaman dan ahli masyarakat yang terkenal di Cape York.

Salah seorang nelayan bersama Darmody memberitahu mendengar suara jeritan diikuti dengan percikan air yang kuat.

"Saya bergegas ke bawah... tetapi tidak ada tanda-tanda dia ada di situ, hanya seliparnya di tebing dan tiada yang lain," kata John Peiti kepada Cape York.

Kemunculan buaya merupakan situasi biasa di utara tropika Australia namun serangan jarang dilaporkan berlaku.

Kematian Darmody merupakan kes serangan buaya ke 13 yang berlaku di Queensland sejak 1985. - Agensi