Tak mengaku belasah anak saudara

Tertuduh, Basri Ismail, 55, mengaku tidak bersalah menyebabkan kecederaan kepada anak saudaranya, di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.
Tertuduh, Basri Ismail, 55, mengaku tidak bersalah menyebabkan kecederaan kepada anak saudaranya, di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan membelasah anak saudara perempuannya.

Tertuduh, Basri Ismail, 55, dari Kampung Paloh Tuan Sulong, di sini, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama 326A Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada anak saudaranya, Fify Syamimi Usri, 23, di Kampung Paloh Tuan Sulong, di sini, lebih kurang jam 10.45 malam, pada 11 Disember lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna di hadapan Majistret Nurul Huda Akmal Mohamed.

Sejurus pengakuan tidak salah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 13 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, tertuduh dikatakan memarahi mangsa yang tinggal bersebelahan rumahnya kerana tidak berpuas hati perbuatan wanita itu yang dituduh suka membazir air sehingga menyebabkan dia terpaksa membayar bil air yang tinggi setiap bulan.

Artikel Berkaitan:

Mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya yang juga adik kepada tertuduh sehingga mengundang rasa marah si ibu sebelum mengadu kepada adik beradik lain.

Susulan itu, tertuduh yang bengang selepas mengetahui mangsa menceritakan kepada semua adik beradiknya bertindak menyerang wanita itu sehingga menyebabkan kecederaan.