18 laluan 'blackspot' di Perak dikenal pasti

Abdul Yunus (dua dari kanan) menyempurnakan upacara 'flag off' jentera dan kenderaan agensi kerajaan terlibat Ops Bersepadu bersempena perayaan Aidilfitri di seluruh Perak sambil diiringi Hong Shuan (tiga dari kanan).
Abdul Yunus (dua dari kanan) menyempurnakan upacara 'flag off' jentera dan kenderaan agensi kerajaan terlibat Ops Bersepadu bersempena perayaan Aidilfitri di seluruh Perak sambil diiringi Hong Shuan (tiga dari kanan).
A
A
A

PARIT BUNTAR - Kerajaan Perak mengenal pasti sejumlah 18 laluan jalan negeri di Perak sebagai kawasan tumpuan kadar kemalangan tinggi (blackspot) menjelang perayaan Aidilfitri pada minggu hadapan.

Exco Kemudahan Awam, Infrastrutruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, 18 laluan itu meliputi KM20 hingga KM30 Jalan Keramat Pulai-Cameron Highland; Jalan Sultan Azlan Shah; Jalan Sultan Nazrin Shah dan Jalan Ipoh-Lumut berhampiran simpang Bota.

Menurutnya, selain itu KM12 Jalan Kuala Sepetang-Taiping; KM84 Jalan Ipoh -Butterworth; Jalan Taming Sari Pekan Taiping; KM56 hingga KM80 Jalan Setiawan Taiping; Jalan Setiawan-Teluk Intan(KM6-KM19); Jalan Segari Pantai Remis(KM3-KM15); Jalan Beruas Air Tawar(KM2-KM19); Jalan Siakap-Bagan Serai(KM12); Jalan Ipoh-Butterworth(KM115); Lampu isyarat di Pekan Bagan Serai dan Jalan Kerian-Semanggol.

"Terdapat tiga lagi tambahan kawasan blackspot iaitu Jalanraya Timur Barat Gerik ke Jeli; Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu (KM50.9-KM59) dan Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu (KM67.7-KM89).

"Kesemua laluan blackspot itu telah diambil inisiatif pemantauan tambahan dan penambahbaikan infrastruktur jalan raya oleh kesemua agensi kerajaan terlibat termasuk polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengurangkan kadar kemalangan menjelang musim perayaan," katanya kepada media pada majlis pelancaran Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya bersempena perayaan Aidilfitri peringkat negeri Perak 2019 di Mydin Mall di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Lim Hong Shuan, Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Perak, C Vigneswaran dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Zakaria Abd Rahman.

Abdul Yunus (tujuh dari kanan) menyempurnakan acara sumbangan perayaan Aidilfitri kepada 20 anak yatim DUN Kuala Kurau sambil diiringi Hong Shuan (lapan dari kanan).
Abdul Yunus (tujuh dari kanan) menyempurnakan acara sumbangan perayaan Aidilfitri kepada 20 anak yatim DUN Kuala Kurau sambil diiringi Hong Shuan (lapan dari kanan).

Artikel Berkaitan:

Abdul Yunus berkata, pelancaran Ops Bersepadu dan kempen keselamatan jalan raya bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya mengenai keselamatan jalan raya terutama pada musim perayaan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan dan mengawal selia pengerakan kenderaan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Menurutnya, statistik polis menunjukkan jumlah kemalangan jalan raya pada tahun 2018 di Perak menunjukkan penurunan sebanyak 1,553 kes, daripada 37,034 berbanding 38,587 pada tahun 2017.

"Bagi jumlah kematian akibat jalan raya turut menunjukkan penurunan bagi tahun 2018 dengan 689 kematian berbanding 711 pada tahun lalu. Diharap jumlah keseluruhan kemalangan pada tahun 2019 akan menurun pada paras lebih rendah.

"Selain itu, hampir 1,200 pegawai dan anggota penguat kuasa daripada polis, JPJ dan pelbagai agensi sokongan lain akan bertugas sepanjang masa dalam tempoh Ops Bersepadu bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik di Perak kelak," katanya.

Abdul Yunus berkata, tahun ini juga lebuhraya PLUS menganggarkan sebanyak 1.9 juta pengguna jalan raya akan melalui negeri Perak dengan peningkatan sebanyak 500,000 kenderaan berbanding tahun 2018.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak bersiap sedia selama 24 jam bersama 42 jentera pemadam api dan 19 jentera EMRS untuk bantuan kecemasan sepanjang musim perayaan Aidilfitri tahun ini," katanya.