PM sahkan bantuan Aidilfitri RM300 untuk peneroka Felda

Dr Mahathir (tengah) ketika sidang media bersama wartawan Malaysia selepas mengakhiri lawatan kerja tiga hari beliau ke Tokyo hari ini. -Foto Bernama
Dr Mahathir (tengah) ketika sidang media bersama wartawan Malaysia selepas mengakhiri lawatan kerja tiga hari beliau ke Tokyo hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

TOKYO - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan sejumlah 112,635 peneroka di bawah skim Felda akan menerima bantuan Aidilfitri sebanyak RM300 setiap seorang.

Berita baik buat peneroka Felda itu diumumkan Dr Mahathir dalam satu sidang media khas bersama wartawan Malaysia bagi merumuskan lawatan kerja beliau selama tiga hari ke Jepun yang berakhir hari ini.

Memetik laporan Astro Awani, Dr Mahathir berkata, bantuan itu yang keseluruhannya berjumlah RM34 juta, telah dimuktamadkan memandangkan masalah kewangan yang dihadapi peneroka Felda ketika ini, ekoran tempoh yang lama diperlukan untuk pokok kelapa sawit menghasilkan buah.

“Ya, kami akan memberi (bantuan) kepada mereka. Kerajaan akan membelanjakan RM30 juta, tetapi memandangkan mereka sedang menghadapi masalah, maka kami sanggup berbuat demikian.

“Tetapi golongan peneroka haruslah ‘deliver’. Jangan mengambil buah yang mereka tidak tanam,” katanya lagi.

Semalam tular sepucuk surat rasmi kerajaan, ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Yatimah Sarjiman dan ditujukan kepada Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Othman Omar bertarikh 30 Mei, yang menyatakan bahawa Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Mei lepas memutuskan bantuan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pertimbangkan duit raya kepada peneroka Felda

Pada masa sama, surat itu menyebut, Felda juga dipohon membuat pembayaran tunggakan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil (SH & PH) kepada peneroka terlibat.

Artikel Berkaitan:

Menurut surat itu, Felda diminta membuat pembayaran secepat mungkin sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, Dr Mahathir juga mengingatkan peneroka Felda agar tidak menjual hasil kepada peraih lain yang tidak diiktiraf semata-mata demi mengaut keuntungan lebih.

“Kerajaan memberi bantuan dan sebenarnya ia berbentuk pinjaman. Akhirnya, apabila pokok itu menghasilkan buah, kita mengharapkan ia akan dihantar ke kilang yang sesuai, tetapi mereka menghantarnya ke kilang lain dan mengambil duit. Itu adalah salah,” katanya lagi.