LZS terima zakat perniagaan RM5.4 juta

Abdul Basith (empat, kanan) dan Aziudin(lima, kanan) menerima zakat perniagaan sebanyak RM5.4 juta yang dibayar oleh 52 syarikat.
Abdul Basith (empat, kanan) dan Aziudin(lima, kanan) menerima zakat perniagaan sebanyak RM5.4 juta yang dibayar oleh 52 syarikat.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 52 syarikat membayar zakat perniagaan berjumlah RM5.4 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini.

Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid berkata, pembayaran zakat itu dibuat oleh Maybank Islamic Berhad berjumlah RM873,484.83, diikuti Advance Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd sebanyak RM628,897.71, Kumpulan MTD berjumlah RM574,000 dan Kumpulan KPJ Healthcare Berhad sebanyak RM499,000.

Beliau berkata, turut menyerahkan zakat perniagaan ialah Celcom Axiata Berhad yang mengeluarkan zakat sebanyak RM469,810, KUB Gaz Sdn Bhd berjumlah RM411,585, Turnpike Synergy Sdn Bhd sebanyak RM303,855, Bank Muamalat Malaysia Berhad sebanyak RM278,782.14 dan Koperasi AIM Berhad berjumlah RM214,581.

"Tiga syarikat yang merupakan pengeluar zakat di LZS menyatakan persetujuan menyertai program ‘Kasihku Zakat Selangor’ melibatkan jumlah agihan semula sebanyak RM134,186.

"Mereka adalah Park Here Sdn Bhd yang menyumbangkan semula wang zakat sebanyak RM12,300, Herbaworks Healthcare Sdn Bhd sebanyak RM45,886 dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd sebanyak 76,000," katanya pada Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan di Wisma PKPS, di sini hari ini.

Beliau berkata, program ‘Kasihku Zakat Selangor’ diperkenalkan sebagai inisiatif kepada syarikat korporat yang mengeluarkan zakat sebanyak RM50,000 ke atas.

Syed Mohd Ghazali Wafa menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Aiman yang menerima bantuan pendidikan.
Syed Mohd Ghazali Wafa menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Aiman yang menerima bantuan pendidikan.

"Melalui program itu, syarikat berkaitan boleh memohon agihan semula sebanyak 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat yang dikeluarkan pada tahun semasa untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan LZS termasuk asnaf fisabilillah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Timbalan Pengerusi LZS, Datuk Dr Aziudin Ahmad dan Ahli Jawatankuasa Kutipan LZS, Datuk Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa.

Dalam perkembangan sama, Abdul Basith berkata, LZS turut menyerahkan sumbangan lapan buah van mobiliti OKU kepada pusat jagaan orang tua, persatuan OKU dan juga IPT terpilih dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1,356,800.

Menurutnya, lapan penerima sumbangan van ini adalah Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Pusat Jagaan Nur Hasanah, Persatuan Kebajikan Al-Fikrah Malaysia, Pusat Kebajikan Penyayang Hani, Pusat Jagaan Siti Nor Aini dan Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat.

Katanya, dua penerima lagi adalah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), Universiti Putra Malaysia dan IIUM Endowment Fund.

Syed Mohd Ghazali Wafa menyerahkan kunci van mobiliti OKU kepada salah seorang penerima pada majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan di Wisma PKPS, hari ini.
Syed Mohd Ghazali Wafa menyerahkan kunci van mobiliti OKU kepada salah seorang penerima pada majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan di Wisma PKPS, hari ini.

"Sumbangan van ini merupakan salah satu jenis bantuan zakat di bawah asnaf fisabilillah bertujuan memudahkan pengangkutan golongan warga emas di pusat jagaan khususnya mereka yang terlantar mendapatkan rawatan harian di hospital.

"Ia turut dimanfaatkan oleh pelajar OKU di IPT bagi memudahkan mereka berulang-alik ke kuliah," katanya.

Sementara itu, Abdul Basith berkata, dua orang pelajar asnaf fakir dan miskin, Zaki Amir Zuraini @ Zuraimi dan Muhammad Aiman Zamani turut menerima bantuan pendidikan dari LZS.

Menurutnya, Zaki Amir menerima bantuan pendidikan berjumlah RM58,960 bagi menyambung pengajian peringkat diploma dalam bidang teknologi animedia, manakala Muhammad Aiman Zamani memperoleh bantuan zakat sebanyak RM40,707 untuk menyambung pengajian peringkat diploma dalam bidang farmasi.