Polis tahan lelaki pecah cermin kereta

Polis berjaya memberkas lelaki yang dipercayai memecahkan cermin sebuah kereta dinaiki seorang wanita di Jalan Kasturi, Seksyen 12, Taman Bukit Serdang petang semalam.
A
A

SERI KEMBANGAN - Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai memecahkan cermin sebuah kereta dinaiki seorang wanita di Jalan Kasturi, Seksyen 12, Taman Bukit Serdang petang semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, suspek berusia lingkungan 30-an yang bekerja sebagai pembantu stor kilang di Balakong itu ditahan pada jam 3 petang tadi.

Menurutnya, anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang turut merampas sebuah motosikal dan topi keledar dipercayai digunakan ketika kejadian.

“Reman akan dipohon di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) di Mahkamah Petaling Jaya.

“Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis cari lelaki pecah cermin kereta

Terdahulu, tular di laman sosial rakaman video insiden seorang lelaki memecahkan cermin sebuah kereta.

Kejadian dirakam kamera pemilik kenderaan tersebut yang merupakan seorang pembantu kedai kek berusia 22 tahun.

Dalam rakaman berdurasi 3.01 minit itu, dua lelaki dirakam menunggang dua motosikal sambil berbual di depan kenderaan dipandu mangsa pada jam 5.50 petang.

Mangsa kemudian dirakam memotong kedua-dua motosikal terbabit dan dipercayai membunyikan hon.

Tidak berpuas hati dengan insiden itu, kedua-dua motosikal kemudian dilihat berhenti secara mengejut di depan kereta mangsa menyebabkan kenderaan jenis Perodua Axia itu terpaksa dihentikan serta-merta.

Rakaman video turut menunjukkan kereta milik pengadu terlanggar sedikit bahagian belakang motosikal yang berhenti mengejut itu sebelum seorang penunggang motosikal meluru ke arah kereta mangsa.

Lelaki terbabit kemudian menghentak cermin kenderaan mangsa dengan topi keledar dan terus ke arah cermin di bahagian sebelah pemandu.

Tindakan itu disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan pengadu kerana membunyikan hon kereta terhadap mereka.