[VIDEO] Ban Bukit Changgang didakwa tidak kukuh, penduduk gesa JPS kaji semula

A
A
A

KUALA LANGAT - Struktur ban yang didakwa tidak kukuh menjadi punca kejadian banjir berulang di Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang sejak 2021, termasuk dua kali pada 2026.

Pengerusi Persatuan Belia RTB, Mohd Tazarul Tamsir, 43, berkata, banjir berlaku hampir setiap tahun sejak 2021, termasuk dua kejadian pada 2023 yang tidak melibatkan penduduk, manakala dua kejadian pada 2026 melibatkan penduduk.

Beliau mendakwa, dasar ban yang tidak kukuh menyebabkan tanah menggelongsor dan berlaku kebocoran.

Gambar dari udara kawasan ban yang terjejas.
Gambar dari udara kawasan ban yang terjejas.

"Di tempat lain mungkin sistem itu berjaya, tetapi di RTB Bukit Changgang, saya berpendapat ia tidak sesuai digunakan.

"JPS sudah membuat kajian untuk kali pertama dan kedua, malah kini memasuki perbincangan kali ketiga, tetapi kaedah paling mudah sebenarnya adalah memperkukuh ban menggunakan sistem sheet pile bagi menahan pergerakan tanah," katanya.

Mohd Tazarul berkata demikian ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang di sini pada Jumaat.

Jelasnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebelum ini menggunakan sistem SPS yang menurutnya berasaskan teknologi dari Indonesia sebelum dibawa ke Malaysia dan menggunakan sistem UPS.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kebocoran kecil yang tidak ditangani pada peringkat awal menyebabkan air terus melimpah dan sukar dikawal berikutan arus deras Sungai Langat, sekali gus menjejaskan penduduk sehingga terpaksa membuang perkakas dan barangan lain akibat banjir.

Sementara itu, penduduk, Mohamad Shahrul Izuan Hussin, 44, berkata, banjir berpunca daripada pembinaan ban yang didakwa tidak dibuat dengan baik dan sempurna serta kegagalan menyelesaikan masalah berkenaan pada Jun lalu.

Seorang lagi penduduk, Norizam Pawi, 43, yang menetap lebih 10 tahun di situ berkata, kebocoran kecil pada 2022 dan 2023 berjaya diatasi menerusi usaha penduduk sendiri, namun banjir pada Jun dan November 2026 menjejaskan pekerjaan, persekolahan anak-anak dan emosi keluarga.

"Rata-rata penduduk di sini bekerja. Apabila banjir berlaku, ia mengganggu kerja, persekolahan anak-anak, selain menyebabkan emosi tidak stabil kerana perlu mengemas rumah dan berdepan pelbagai masalah lain.

"Saya berharap ada keseriusan berganda daripada pihak bertanggungjawab untuk menangani masalah ban di kawasan tempat kami menetap ini," katanya.

Sementara itu, Norazizul Mat Idris, 43, pula berharap JPS membuat kajian semula, memperbaiki ban sedia ada dan membina ban baharu yang lebih kukuh pada 2027 bagi mengelakkan masalah sama berulang.

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!