Ban Bukit Changgang: Beri ruang JPS lakukan penambahbaikan - Aiman Athirah

Aiman Athirah (kanan) ditemui ketika melawat ke PPS Sekolah Kebangsaan RTB Bukit Changgang di sini pada Jumaat.
Aiman Athirah (kanan) ditemui ketika melawat ke PPS Sekolah Kebangsaan RTB Bukit Changgang di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LANGAT - Kerja pembaikan ban yang pecah di Bukit Changgang selesai pada jam 3 petang pada Khamis, manakala kerja menambah tanah masih dilaksanakan bagi memperkukuh struktur berkenaan.

Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang menjalankan kerja penambahbaikan di kawasan ban berkenaan susulan masalah struktur yang terjejas akibat hentaman arus deras.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, pembangunan ban konkrit sudah dilaksanakan, namun terdapat satu tapak yang kukuh dan satu lagi berdepan masalah akibat hentaman arus deras yang kuat.

"Satu tapak kukuh, satu tapak lagi yang bermasalah sebab hantaman daripada arus deras yang kuat itu, tetapi kita beri ruang kepada JPS untuk melakukan kerja-kerja penambahbaikan," katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan RTB Bukit Changgang di sini pada Jumaat.

Aiman Athirah (tengah) ditemui ketika melawat ke PPS Sekolah Kebangsaan RTB Bukit Changgang di sini pada Jumaat.
Aiman Athirah (tengah) ditemui ketika melawat ke PPS Sekolah Kebangsaan RTB Bukit Changgang di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, beliau turut memberi perhatian kepada persediaan agensi keselamatan, khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5, supaya memastikan tenaga kerja dan peralatan mencukupi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Menurutnya, penyelarasan turut dilakukan bersama agensi lain termasuk Pantas, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pejabat Daerah Kuala Langat bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera sekiranya diperlukan.

Malah beliau turut membawa ke perhatian Perdana Menteri keperluan menyegerakan pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Fasa 2 Pakej 3 khusus untuk Kuala Langat bagi memperkukuh benteng di sepanjang laluan Sungai Langat.

Artikel Berkaitan:

"Rekod berkaitan ban di kawasan berkenaan bermula sejak tahun 2012 dan menjadi lebih kronik selepas kejadian banjir besar pada Disember 2021.

"Saya masih ingat ketika bertanding di sini pada November 2022, masa saya datang ke mari, kampung ini digenangi oleh air.

"Daripada situ saya melihat perkara ini penting dan perlu diberi perhatian. Sepanjang proses saya berada di sini, perkara itu diangkat," katanya.

Penduduk diminta mematuhi arahan pihak berkuasa dan sentiasa menjaga keselamatan diri dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku.
Penduduk diminta mematuhi arahan pihak berkuasa dan sentiasa menjaga keselamatan diri dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku.

Beliau berkata, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) pada Jun lalu bagi membincangkan isu berkaitan RTB di kawasan berkenaan.

Menurutnya, RTB Fasa 1 dan Fasa 2 sudah dilaksanakan, termasuk Pakej 1 dan Pakej 2 bagi Fasa 2, manakala Pakej 3 masih memerlukan perhatian untuk memastikan benteng di sepanjang Sungai Langat dapat diperkukuh.

Mengulas lanjut, beliau berkata, cadangan Pakej 3 sudah dimajukan oleh JPS Selangor dan dimohon untuk dimasukkan dalam Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Bagaimanapun, katanya, beliau difahamkan jumlah yang diperlukan memerlukan libat urus lanjut.

"Saya sedang meneruskan libat urus bersama pasukan di peringkat Kerajaan Persekutuan. Itu komitmen saya," katanya.

Beliau turut meminta penduduk mematuhi arahan pihak berkuasa dan sentiasa menjaga keselamatan diri dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!