Polis cari lelaki pecah cermin kereta

Lelaki tersebut memberhentikan kenderaan secara mengejut di depan kenderaan pengadu dan tindakan itu menyebabkan cermin depan kenderaan pengadu retak.
Lelaki tersebut memberhentikan kenderaan secara mengejut di depan kenderaan pengadu dan tindakan itu menyebabkan cermin depan kenderaan pengadu retak.
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang memecahkan cermin sebuah kereta dinaiki seorang wanita di Jalan Kasturi, Seksyen 12, Taman Bukit Serdang petang semalam.

Kejadian itu dirakam kamera pemilik kenderaan tersebut iaitu seorang pembantu kedai kek berusia 22 tahun sebelum menjadi tular di laman sosial sejak semalam.

Dalam rakaman berdurasi 3.01 minit itu, dua lelaki dirakam menunggang dua motosikal sambil berbual di depan kenderaan dipandu mangsa pada jam 5.50 petang.

Mangsa kemudian memotong kedua-dua motosikal terbabit dan dipercayai membunyikan hon.

Tidak berpuas hati dengan insiden itu, kedua-dua motosikal kemudian dilihat berhenti secara mengejut di depan kereta mangsa menyebabkan kenderaan jenis Perodua itu terpaksa dihentikan serta-merta.

Rakaman video turut menunjukkan kereta milik mangsa terlanggar sedikit bahagian belakang motosikal yang berhenti mengejut itu sebelum seorang penunggang motosikal meluru ke arahnya.

Lelaki terbabit kemudian menghentak cermin kenderaan mangsa dengan topi keledar dan terus ke arah cermin di bahagian sebelah pemandu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan mengesahkan kejadian dan memaklumkan mangsa telah membuat laporan polis.

Menurutnya, mangsa mengadu lelaki dalam video terbabit memukul cermin depan kenderaan miliknya dan mengatakan insiden berlaku kerana kesalahannya.

Artikel Berkaitan:

“Lelaki tersebut bertindak demikian disebabkan tidak puas hati dengan pengadu kerana membunyikan hon kereta terhadap mereka.

“Suspek kini telah dikenal pasti dan sedang dikesan malah siasatan lanjut masih diteruskan.

“Saya minta orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis jika mempunyai maklumat berhubung kejadian” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan.