Semakan kehakiman tujuh perokok didengar 22 Ogos

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 22 Ogos ini untuk mendengar permohonan semakan kehakiman tujuh individu yang mencabar keputusan Kementerian Kesihatan mewartakan semua tempat makan sebagai kawasan larangan merokok bermula 1 Januari lalu.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya menetapkan tarikh itu dalam kamar beliau selepas sebutan kes hari ini yang dihadiri peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah, mewakili tujuh individu berkenaan selaku plaintif dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, mewakili Kementerian Kesihatan sebagai responden.

Mohamed Haniff memberitahu pemberita bahawa tarikh baharu itu ditetapkan susulan bantahan oleh responden menerusi afidavit baharu difailkan Jumaat lalu.

Justeru, katanya, pihak plaintif mempunyai masa 14 hari untuk meneliti afidavit tersebut sebelum memfailkan afidavit balas.

Tujuh individu berkenaan ialah ahli kelab Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok iaitu Mohd Hanizam Yunus, 53, Zulkifli Mohamad, 57, Mohd Laisani Dollah, 47, Mohd Sufian Awaludin, 36, Ridzuan Muhammad Noor, 53, Mohd Yazid Mohd Yunus, 49, dan Yuri Azhar Abdollah, 40.

Dalam permohonan difailkan pada 31 Disember 2018, plaintif, antara lain, mendakwa larangan itu adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana merokok bukan suatu aktiviti jenayah atau diharamkan di negara ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: