Status Presiden PBM: Zuraida gagal peroleh semakan kehakiman

Zuraida
Zuraida
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin gagal mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, supaya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengiktirafnya sebagai Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang sah.

Hakim, Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan bekas Ahli Parlimen Ampang itu mengikut Seksyen 18 C Akta Pertubuhan 1966.

Untuk rekod, seksyen itu menetapkan bahawa, keputusan membabitkan parti adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayu atau dipersoalkan di mahkamah.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Amarjeet berkata, mahkamah tidak boleh campur tangan mahupun mendengar isu-isu yang menjadi pertikaian berkaitan hal ehwal dalaman parti.

“Mengikut seksyen itu juga, mahkamah terikat dengan keputusan yang dibuat mahkamah yang lebih tinggi,” katanya.

Pada April lalu, Pejabat Peguam Negara membantah permohonan Zuraida, dengan mengguna pakai seksyen serta alasan sama.

Zuraida, 65, memfailkan permohonan kebenaran itu pada 24 Mac lalu dengan menamakan RoS sebagai responden tunggal, dengan memohon pengisytiharan bahawa tindakan jabatan itu mengekalkan Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shen sebagai Presiden PBM adalah tidak sah.

Afidavit sokongan beliau difailkan permohonan itu menerusi firma guamannya, Tetuan Ashmeer Ashrof pada 24 Mac lalu.

Beliau juga memohon perintah mandamus untuk mengarahkan RoS mengiktirafnya sebagai Presiden PBM berkuat kuasa 7 Oktober 2022.

Pada 27 Oktober 2022, Zuraida mendakwa telah menerima surat daripada PBM, memaklumkan pelantikannya sebagai presiden parti itu.

Bagaimanapun, Zuraida berkata, beliau menerima surat daripada parti itu bertarikh 19 Disember tahun lalu yang menyatakan Larry Soon mengisytiharkan dirinya sebagai Presiden PBM dan menggantung keahliannya (Zuraida).

Menerusi afidavit sokongan permohonan semakan kehakiman terhadap RoS, Zuraida mendakwa kegagalan atau kecuaian jabatan itu membolehkan PBM memecatnya daripada parti berkenaan.

Ia secara langsung menyebabkan kerosakan teruk kepada imej serta kerjaya politiknya.

Bekas menteri itu berkata, hanya mengetahui mengenai pemecatannya daripada PBM melalui portal berita The Star pada 27 Disember 2022, namun tidak pernah menerima sebarang notis, surat atau makluman daripada parti itu mengenai pemecatannya.