Giliran balik beraya mesti adil

A
A
A

SETIAP kali Hari Raya Aidilfitri menjelang tiba, perkara yang banyak dibincangkan selain persiapan raya ialah persoalan nak balik kampung siapa dulu, suami atau isteri.

Adakalanya kerana perbincangan yang hangat dan penuh emosi mengenai isu balik kampung siapa dulu, menyebabkan hari raya yang sepatutnya ceria menjadi suram.

Isunya memang nampak kecil tapi impaknya sangat besar pada perasaan si isteri dan suami. Macam-macam kisah boleh kita baca di media sosial mengenai luahan hati isteri dan suami bila dah dekat raya.

Kadang itu ada jenis suami yang sangat dominan yang mahukan setiap kali beraya mesti balik rumah keluarganya dulu, dengan alasan suami ketua rumah tangga.

Si isteri yang malas nak bergaduh dan bimbang dilabel derhaka akan ikut sahaja kehendak suami, tapi di dalam hati si isteri penuh kesedihan dan sedikit tercalar. Dia balik kampung suami tapi hatinya tak bahagia dan retak seribu di pagi raya.

Namun tak dinafikan ada juga jenis isteri yang garang dan memberontak bila suami ajak balik awal raya di rumah ibu bapa si suami. Selain itu bagi suami isteri yang sama-sama keras kepala memang berlakunya perang dingin menjelang raya, bila masing masing tidak mahu beralah dan berkeras dengan keputusan masing-masing.

Kesudahannya raya yang sepatutnya disambut dengan gembira dan mengeratkan silaturahim menjadi konflik berpanjangan dengan masing-masing balik raya ke kampung tanpa pasangan. Semua ini kerana kegagalan berkomunikasi dengan baik dan sikap ego yang tinggi dan tidak boleh berlebih kurang.

Perlu diingat sikap bertoleransi dan berlebih kurang sangat dituntut dalam hidup berkeluarga. Komunikasi yang baik antara suami isteri juga boleh membantu mengharmonikan kesejahteraan rumahtangga dan perkahwinan.

Artikel Berkaitan:

Sebagai ketua keluarga, suami amat penting menjadi pemimpin yang baik, adil dan bijak menyelesaikan masalah dalam keluarga. Dalam kaitan yang sama, bila tiba hari raya kebijaksanaan suami untuk menentukan giliran balik kampung sangat dihargai oleh isteri dan anak anak.

Suami yang bijak dan seringkali adil membuatkan si isteri sangat menghormatinya. Sebaliknya suami yang pentingkan diri sendiri dan tidak bijak berkompromi dalam keluarga akan membuat si isteri rasa sedih dan kurang rasa hormat.

Berkomunikasi secara berhemah dengan anak-anak dan isteri dapat menyelesaikan banyak kemelut dalam rumahtangga dan isu-isu kecil. Suami memainkan peranan penting membuat giliran yang adil buat dirinya dan isteri bila tiba hari raya.

Biasanya giliran balik kampung beraya mengikut selang tahun. Tahun lepas kampung suami, tahun ini kampung isteri. Jika giliran itu diikut dengan baik, pasti kedua dua suami isteri akan gembira.

Namun apa yang sering menjadi masalah ialah apabila ada suami atau isteri yang mahukan pulang ke kampungnya di hari raya pertama setiap tahun.

Alasan kerana keluarga pasangannya dekat dan boleh jumpa selalu walau bukan hari raya. Isunya bukan kerana keluarga dekat tetapi hari raya hari yang cukup istimewa dan berbeza dari hari-hari biasa.

Namun dalam hal-hal tertentu jika ada sesuatu yang tidak dapat dielakkan seperti ibu bapa yang uzur kerana masalah kesihatan, giliran pulang ke kampung boleh dirombak dan dibincang dengan baik.

Mungkin tahun ini terpaksa pulang beraya di rumah mertua walau tahun lalu dah balik rumah mertua, namun kerana masalah yang dinyatakan di atas seperti masalah kesihatan ibu bapa adalah lebih baik diikutkan kerana mungkin ini raya terakhir bersama mereka.

Tuntasnya mengamalkan komunikasi yang berhemah seperti berbincang dengan baik, memujuk dan menggunakan bahasa yang sangat lemah lembut dapat membuatkan giliran beraya di kampung diterima dengan baik dan adil oleh semua pihak.

Tidak dinafikan hari raya memang penuh emosi namun jika kena pada caranya satu-satu masalah itu dapat diselesaikan dengan mudah dan baik. Berbincanglah dari hati ke hati bukan ikut rasa marah dan hati panas.

Kurangkan ego, fahami perasaan pasangan dan jangan tengking herdik sewaktu berbincang. Anda akan dihormati pasangan jika sentiasa beralah, baik tutur kata dan menjaga hati pasangan.

Hari raya adalah hari untuk kita berjumpa sanak saudara, merapatkan hubungan silaturahim dan mengeratkan perhubungan kekeluargaan. Justeru berlapang dada dengan apa juga keputusan untuk berhari raya.

Perlu diingat tujuan utama berhari raya. Di mana pun kita berada sambutan hari raya adalah sambutan kemerdekaan dan kegembiraan setelah berjaya melaksanakan ibadah puasa dengan jayanya. Semoga hari raya ini kita semua bergembira dan sentiasa menghormati sanak saudara tidak kira di sebelah suami atau isteri.

* Hariyati Ariffin ialah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam