Sultan Perak tegur parti berpolitik di masjid

Asmuni (enam, kanan) bersama sebahagian anak-anak yatim yang menerima sumbangan baju raya sempena program berkenaan di Pasar raya Mydin Manjoi, di sini hari ini.
Asmuni (enam, kanan) bersama sebahagian anak-anak yatim yang menerima sumbangan baju raya sempena program berkenaan di Pasar raya Mydin Manjoi, di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegur semua parti politik supaya mematuhi arahan larangan mengadakan program berbentuk politik di masjid dan surau di negeri ini.

Exco Agama, Pendidikan Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Usahawan Perak, Asmuni Awi berkata, teguran itu dibuat baginda dalam satu pertemuan bersama enam ketua parti-parti politik di Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada jam 4 petang semalam.

Menurutnya, baginda secara tegas bertitah agar masjid dan surau di negeri ini tidak disalahgunakan oleh parti-parti tertentu untuk tujuan politik dengan mengadakan program serta menggantung sepanduk tertera logo politik.

"Baginda mahu melihat fungsi masjid ini kembali kepada matlamat asal yang bebas daripada politik tetapi dalam masa sama tidak menyekat orang ramai untuk menggunakannya.

"Titah Sultan Nazrin semalam, jika terdapat pihak yang ingin mengadakan program iftar atau penyampaian sumbangan ia boleh dilakukan asalkan tiada sebarang kaitan dengan politiik," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Membeli Belah Raya Bersama Anak Yatim DUN Manjoi di Pasar raya Mydin Manjoi, di sini, hari ini.

Asmuni berkata, sebelum ini pihaknya telah memberikan teguran melalui Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) supaya aktiviti politik di masjid dihentikan kerana perbuatan itu menyalahi peraturan.

Asmuni (kanan) turut sama membantu memilih pakaian untuk anak-anak yatim terpilih menerima sumbangan berkenaan.
Asmuni (kanan) turut sama membantu memilih pakaian untuk anak-anak yatim terpilih menerima sumbangan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Masjid mestilah bebas daripada politik sebab kita nak jadikan sebagai pusat ilmu, melakukan ibadat dan penyatuan ummah, bukan perpecahan. Kita harus ingat yang datang ke masjid itu bukan semua daripada satu parti, ada parti yang berlainan dan tak berparti.

"Bila ada lambang parti ia menimbulkan rasa kegelisahan dan ketidakselesaan jadi sudahnya orang ramai daripada datang ke masjid terus tak datang. Matlamat untuk menyatukan umat itu tidak tercapai," katanya.

Dalam pada itu, Asmuni berkata, Sultan Nazrin ketika pertemuan itu juga mendapatkan pengakuan setiap ketua parti supaya akur terhadap peraturan tersebut supaya tidak timbul lagi isu seumpama itu.

Menurutnya, sekiranya berlaku kembali perbuatan sedemikian, pengerusi serta ahli jawatankuasa masjid boleh digantung tugas.

Tambahnya, sekiranya siasatan dibuat mendapati berlaku perlanggaran peraturan yang serius, pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid atau surau berkenaan akan ditukar.

Sementara itu, Asmuni yang juga Pengerusi Amanah Perak berkata, kesemua pemimpin politik yang hadir pada pertemuan tersebut termasuklah Menteri Besar Perak selaku Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak; Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham; Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.