JAM’IYAH bantu 1,400 asnaf termasuk bukan Islam

Dr. Shahruddin menyampaikan sumbangan kepada penerima OKU. (Gambar kecil: Zakariah)
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah RM135,190 peruntukan dibelanjakan Persekutuan Seruan Islam Selangor Dan Wilayah Persekutuan (JAM'IYAH) bagi program sumbangan kepada lebih 1,400 golongan asnaf sempena Aidilfitri tahun ini.

Yang DiPertua JAM’IYAH, Zakariah Isa berkata, dana berkenaan adalah hasil sumbangan yang dikumpulkan daripada individu dan badan-badan korporat serta pelbagai agensi yang mana menjadikan program sumbangan tersebut sebagai acara tahunan.

Menurutnya, JAM’IYAH mengambil pendekatan bukan hanya menyampaikan sumbangan kepada golongan beragama Islam sebaliknya juga kepada bukan Islam.

“Sumbangan disampaikan kepada 1,010 penerima pada hari ini yang mana mereka ini telah mendaftar sejak sebulan lalu.

“Tapisan dibuat berdasarkan kelayakan terdiri golongan asnaf, fakir miskin, OKU,ibu tunggal dan kanak-kanak.

“Manakala dalam program berasingan, sumbangan akan disampaikan kepada seramai 160 pesakit di Hospital Shah Alam,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Majlis Sumbangan Aidilfitri 2019 di Masjid Jamek Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh menyempurnakan majlis berkenaan dan menyampaikan sumbangan kepada penerima-penerima.

Dalam pada itu, Zakariah berkata, seramai 150 keluarga masyarakat orang asli dari Kampung Hulu Tamu Barang Kali juga akan disantuni bagi menyampaikan sumbangan sama dengan kerjasama Yayasan Dakwah Wilayah Persekutuan.

Katanya, kampung berkenaan merupakan kampung angkat JAM’IYAH yang mana pihaknya turut menyalurkan sumbangan pembangunan surau di situ.

“Surau untuk digunakan masyarakat Islam di sana telahpun disiapkan dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM400,000,” katanya.