Rashidah, Siti Raihana tabah tunggu suami pulang

Ahli keluarga dua nelayan yang dikhuatiri lemas menunggu di Jeti Nelayan Ayer Baloi.
A
A

PONTIAN - “Biasanya suami balik jam 4 petang, tapi semalam dia tak balik-balik," demikian kata Rashidah Omar, 32, isteri kepada Mohd Yusni Mohd Yusof, 43 yang dikhuatiri lemas ketika menuju ke Pulau Pisang untuk menjaring ikan, kelmarin.

Menurut Rashidah, khabar berita yang diterima daripada beberapa nelayan yang memaklumkan kehilangan suaminya di laut membuatkan dia begitu sebak.

Katanya, hasrat tiga anak mereka berusia 5 hingga 12 tahun mahu berbuka puasa bersama ayah di rumah mereka di Kampung Dalam Ayer Baloi yang menjadi rutin sepanjang Ramadan juga tidak tercapai, semalam.

“Kelmarin (Khamis) suami turun ke laut jam 4 petang dan sepatutnya balik jam 4 petang semalam.

“Suami beritahu dia nak ke laut tangkap ikan macam biasa bersama sepupunya, Mohd Khir Ismail, 38, ” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Ayer Baloi di sini pagi tadi.

Rashidah Omar
Rashidah Omar

Rashidah hanya mampu berdoa agar suaminya dapat ditemui dengan selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Sementara itu, Siti Raihana Ramzaan, 36, isteri kepada Mohd Khir berkata, sebaik menerima perkhabaran tentang kehilangan suaminya kira-kira jam 5.30 petang semalam, dia bersama empat anak berusia 5 hingga 14 hingga tahun bergegas dari rumah mereka di Tampoi ke Jeti Nelayan Ayer Baloi.

Katanya, ibu mertuanya, Salamah Hamzah, 74, turut bersama menunggu perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan sejak petang semalam.

“Suami beritahu, macam biasalah hendak ke laut menjaring dengan sepupunya Mohd Yusni.

“Sebelum ini suami bekerja sebagai pemandu lori. Dua bulan lepas dia berhenti kerja,” katanya.

Siti Raihana Ramzaan
Siti Raihana Ramzaan

Siti Raihana berharap keadaan cuaca yang baik sejak pagi tadi, membantu usaha mencari dan menyelamat dijalankan di sekitar perairan Pontian.

“Tak putus-putus saya dan anak-anak doa agar suami ditemui keadaan selamat,” katanya.

Salamah pula menangis sewaktu ditanya tentang anaknya.

Katanya, Mohd Khir merupakan anak kelapan dari 12 beradik yang mencari rezeki sebagai nelayan.

“Biarlah Mohd Khir ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

Salamah Hamzah
Salamah Hamzah

Hadir menziarahi keluarga berkenaan di Jeti Nelayan Ayer Baloi, Penyelaras Dun Benut, Zulkifly Tasrep; Pegawai Khas Adun Pulai Sebatang, Zainuzabha Baharom dan Penghulu Mukim Ayer Baloi Azul Ibrahim.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh memberitahu operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa dimulakan jam 6 petang semalam.

Operasi melibatkan pasukan bomba, Maritim, APM, Polis Marin dan dibantu nelayan itu disambung semula pagi ini selepas ditangguhkan malam tadi.

“Mohd Khir dan Mohd Yusni keluar menuju ke Pulau Pisang menaiki bot fiber untuk menjaring ikan pada kira-kira jam 5.30 petang, kelmarin.

“Bagaimanapun, kawan-kawan mangsa telah menemui kelengkapan milik mangsa seperti tabung yang mengandungi telefon. Barang-barang milik mangsa telah diserahkan tengahari semalam,”katanya.

Anggota bomba menerangkan operasi dan menyelamat yang dijalankan.
Anggota bomba menerangkan operasi dan menyelamat yang dijalankan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia