Duda, anak dara dicekup khalwat dalam khemah

KLUANG – [DIKEMAS KINI] Seorang duda bersama seorang wanita berstatus 'anak dara' dicekup kerana disyaki berkhalwat di dalam sebuah khemah yang dipasang di ruang tamu sebuah rumah kampung di daerah ini, kira-kira jam 3.30 pagi, baru-baru ini.
Menurut kenyataan JAINJ di laman Facebook, tangkapan dibuat hasil maklumat awam sebelum sepasukan anggota menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah yang terletak kira-kira 200 meter dari kediaman terdekat.
Menurutnya, keadaan di luar rumah ketika itu gelap sebelum penguat kuasa menjalankan pemeriksaan menggunakan lampu suluh dan mendapati pintu utama rumah berkenaan tidak berkunci.
“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah setingkat itu menemukan sebuah khemah berwarna merah dipasang di ruang tamu tetapi tidak menemukan sebarang individu di luar khemah berkenaan.
"Bagaimanapun, beberapa minit kemudian seorang lelaki berusia 40-an keluar dari khemah tersebut, diikuti seorang wanita yang juga berusia 40-an.
“Hasil soal siasat mendapati lelaki berkenaan berstatus duda dan wanita terbabit pula masih berstatus anak dara dan kedua-duanya mengaku bukan suami isteri dan tidak mempunyai hubungan mahram,” katanya.
Difahamkan, rumah berkenaan milik lelaki terbabit dan sedang dalam proses ubah suai daripada rumah papan kepada rumah batu yang masih belum siap sepenuhnya.
Sementara itu menurut kenyataan laman Facebook itu lagi, hasil pemeriksaan di dalam khemah turut menemukan tilam, bantal, selimut serta pakaian lelaki dan wanita.
Malah, siasatan juga mendapati wanita terbabit dipercayai kerap bermalam di rumah berkenaan sebelum ini.
"Pasangan terbabit juga memaklumkan mempunyai hasrat untuk berkahwin namun belum mengemukakan sebarang permohonan pernikahan yang sah.
"Kedua-duanya ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor sebelum dibawa ke balai polis bagi tindakan lanjut," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang duda bersama seorang wanita berstatus 'anak dara' dicekup kerana disyaki berkhalwat di dalam sebuah khemah di ruang tamu rumah kampung di Kluang pada jam 3.30 pagi
- Tangkapan dibuat berdasarkan maklumat awam dan pemeriksaan dijalankan oleh penguat kuasa dengan menggunakan lampu suluh
- Pintu utama rumah tidak berkunci dan sebuah khemah berwarna merah ditemui di ruang tamu tanpa individu di luar khemah
- Kedua-dua individu mengaku bukan suami isteri dan tidak mempunyai hubungan mahram setelah di soal siasat
- Pasangan tersebut ditahan kerana disyaki melakukan khalwat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
